Peniaga mengeluh stok telur payah nak dapat, kena beli ikut ‘pintu belakang’ jika nak telur sepapan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang peniaga burger mengeluh sukar mendapatkan stok bekalan telur ketika ini selain mendakwa harga barangan mentah bagi membuat makanan segera itu kian meningkat.

Seperti yang dikongsi seorang pengguna Facebook, Faeez Azahar, dia berkata sahabatnya yang juga penjual burger itu tiada cara lain selain terpaksa menelan kos yang kian mahal apatah lagi difahamkan barangan mentah akan naik lagi minggu depan.

Apa yang mengejutkan, sahabatnya itu juga mendedahkan, dia perlu beli ‘senyap-senyap’ melalui pintu belakang jika mahu mendapatkan sepapan telur.

Ini kerana peniaga kedai mahu mengelakkan pembeli lain marah kerana mereka diterhadkan pembelian kepada 10 biji sahaja seorang.

“Sembang dengan sahabat jual burger. Dia kata barang burger baru naik, minggu depan akan naik lagi.

“Paling sedih katanya, nak dapat stok telur pun payah. Nak dapat telur sepapan pun kena ikut pintu belakang.

“Sebab kalau ikut pintu depan, pembeli lain marah, mereka boleh beli 10 biji je sebab tiada stok,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Pada masa sama katanya, sahabatnya itu terpaksa akur dengan harga yang mahal kerana memikirkan perniagaan burgernya

“Harga memang tak boleh nak fikir dah, terpaksa hadap je harga mahal pun sebab nak niaga. Korang lalui perkara yang sama tak? Ini baru betul ‘penindasan’ yang kena pada semua masyarakat,” katanya lagi.

Bagi peniaga roti canai yang mahu dikenali sebagai Ja pula, dia yang berniaga di negeri Pantai Timur turut mengadu mengalami kesukaran sama apabila beberapa kedai2 meletakkan had jumlah bagi pembelian telur ayam.

Menurutnya, kebanyakan pekedai meletakkan had satu papan telur sahaja yang menyukarkan dia mendapat stok bahan mentah tersebut secara berterusan.

“Dah pergi dua tiga kedai pun tak ada langsung stok telur. Kalau ada pun pekedai hadkan kepada 1 papan sahaja.

“Disebabkan itu saya terpaksa beratur beberapa kali bersama keluarga dan bayar berasingan untuk mendapatkan stok telur,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Sejak kebelakangan ini isu kekurangan bekalan telur kembali diperkatakan. Beberapa tempat dilaporkan mengalami kekurangan bahan mentah tersebut.

Untuk rekod, bermula 12 Oktober lalu, kerajaan telah menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Baca juga: Anwar bertegas tuntut kerajaan beri penjelasan dakwaan kemasukan Mossad dalam negara

Baca juga: Kipas siling uzur, berkarat jatuh timpa murid, patah jari-Bapa terkilan sekolah lengahkan rawatan anaknya