Malaysia Dateline

Anwar bertegas tuntut kerajaan beri penjelasan dakwaan kemasukan Mossad dalam negara

Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut penjelasan segera dari kerajaan berhubung dakwaan ejen perisikan Israel (Mossad) dibiarkan memasuki Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini.

Anwar berkata, menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap isu ini seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu memberikan penjelasan berkaitan isu tersebut.

Ia susulan pendedahan dilakukan sebuah akhbar tempatan pada pagi semalam mengenai kemasukan ejen daripada agensi perisikan Israel ke Malaysia dan termasuk dakwaan wanita tempatan dalam negara menjadi pengintip bagi mossad.

“Saya tuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan mengapa dibiarkan atau dibolehkan operatif tentera yang berpangkalan di Israel iaitu jentera perisikan Israel nampak terus berlegar di sekitar negara kita khususnya di Kuala Lumpur.

“Pada tahun 2018, tatkala Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib kita telah dapati seorang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Palestin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dibunuh dengan kejam oleh operatif Mossad.

“Apa jaminan keselamatan negara kita kalau masih ada operatif musuh negara kita, Mossad yang berpengkalan di Israel masih berlegar di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan menerusi video pendek di Facebook.

Beliau turut menegaskan agar menteri-menteri dari Bersatu, Umno dan Pas segera memberi penjelasan berhubung dakwaan yang berbangkit ini.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneliti dakwaan tersebut selain akan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, pemerhatian sedang dilakukan secara menyeluruh dan jika perlu tangkapan akan dapat diambil serta-merta.

Baca juga: Wanita Malaysia didakwa jadi ejen Mossad Israel, kerajaan respon sedang mulakan penelitian

Baca juga: Dr Amalina selamat bersalin bayi sulung, nama Arabella Mia jadi pilihan hati