Pasangan suami isteri didakwa ejen Mossad bukan anggota PKR – Fahmi

Oleh KIM SYAZIE

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil hari ini tampil menafikan dakwaan bahawa pasangan suami isteri yang ditahan kerana menjadi ejen perisikan Mossad Israel, adalah anggota parti PKR.

Beliau dalam kenyataannya mengesahkan bahawa kedua-dua individu tersebut bukan anggota mana-mana cabang keadilan dan tiada kaitan dengan parti.

“Semalam tular di media sosial dakwaan bahawa dua individu yang ditahan itu merupakan anggota Keadilan atau ada kaitan dengan parti. Individu-individu tersebut didakwa punyai hubungan dengan Mossad.

“Saya sahkan bahawa dua individu tersebut, iaitu Nidarayahu Zainal dan Raibafie Amdan, bukan anggota mana-mana cabang Keadilan dan tiada kaitan dengan parti,” katanya dalam satu kenyataan terbaru di Facebook.

Pada masa sama, Fahmi menjelaskan, berhubung gambar individu tersebut mengangkat bendera Keadilan, atau gambar akaun Facebook dengan logo Keadilan sekitar 2018, ianya merupakan tindakan dan pilihan individu terbabit dan tidak ada kaitan sama sekali dengan parti.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas suspek yang menjadi ‘tali barut’ dan membebaskan warga Palestin yang diculik dipercayai atas arahan Mossad.

Baca juga: Mossad Israel sohor di Twitter

Baca juga: Anwar bertegas tuntut kerajaan beri penjelasan dakwaan kemasukan Mossad dalam negara