‘Jangan tanya gaji berapa, tanya risiko dia’ – Ibu muda ini pernah nyaris disambar kilat

Oleh ARIF ATAN

Aksi wanita Melayu ini bekerja dengan bergayut pada Menara Berkembar Petronas (KLCC) mengundang rasa kagum orang ramai sehingga ada yang mencongak gaji diperoleh dengan risiko tinggi yang dihadapinya.

Ibu kepada seorang anak ini memberitahu beliau nyaris disambar kilat ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah bangunan di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pengalaman yang tidak boleh dilupakan Normalia Sidek, 30, atau lebih mesra disapa Maya itu dialami ketika cuaca yang awalnya cerah secara tiba-tiba berubah tanpa beliau dan pasukannya sedari.

“Entah bagaimana, saya nampak hujung kilat itu melalui cermin tingkap bangunan. Kami kemudian bergegas turun daripada bangunan itu dalam keadaan hujan lebat,” dipetik Harian Metro.

Maya dari Nilai, Negeri Sembilan dikatakan antara kurang dari 10 wanita di negara ini yang bekerja sebagai juruteknik akses tali sejak 2017.

Semuanya bermula semasa beliau aktif dengan aktiviti lasak iaitu mendaki tebing batu sehingga Maya kemudiannya mencuba dengan mengambil kursus kemahiran untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan pekerjaan mencabar itu.

Apabila mengikuti kursus kemahiran tersebut, ujarnya, timbul minat untuk lebih serius apabila menyedari bahawa skop kerja itu sebenarnya luas dengan mendapat permintaan yang tinggi serta menawarkan pendapatan lumayan.

Menerusi profil beliau di rangkaian profesional, Linkedin, Maya memberitahu kemahirannya merangkumi penyelenggaraan bangunan komersial seperti kerja pembersihan, elektrik, awam dan mekanikal.

Berkongsikan pengalamannya dalam kerja berbahaya yang didominasi lelaki itu, Maya dilapor berkata, pengalaman melakukan kerja penyelenggaraan di bangunan ikonik KLCC antara pencapaian yang membanggakannya.

Selain itu, Maya juga tidak akan melupakan pengalaman berjaya mencapai hasrat bekerja di pelantar minyak selama sebulan di pelantar minyak Bunga Kertas, Terengganu.

“Biarpun berdepan masalah mabuk laut pada tiga hari pertama, pengalaman bekerja di tengah laut, adalah sesuatu yang cukup berharga,” ujarnya.

Isteri kepada Abdul Hazim Abdul Rashid yang juga terbabit dalam bidang sama itu turut menceritakan pengalaman sulungnya bekerja di loji janakuasa pada Oktober 2020.

Pengalaman mencari rezeki di loji janakuasa TNB JanaManjung, di Manjung sebagai juruteknik mekanikal akses tali itu mencatatkan rekod peribadi buatnya.

“Saya amat berbangga kerana, saya adalah wanita pertama yang melakukan kerja-kerja mekanikal dandang pakar dengan akses tali di Malaysia,” dipetik dari Linkedin.

Rakaman video yang memaparkan aksi Maya ‘memanjat’ menara KLCC yang diiktiraf sebagai bangunan ke-11 tertinggi di dunia itu tular di media sosial dengan rata-ratanya memuji dan mendoakan beliau terus sukses dalam kerjaya.

“Gayat! Tengok video pun dah rasa ketar lutut semua.

“Seram sejuk kaki. Kecut perut tengok ketinggian, mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

“Jangan tanya gaji dia,tanya risiko dia.

“Gaji mesti kencang. Pendapatan lima angka ni.

“Macam manalah rasa angin di atas sana,” demikian antara deretan komentar orang ramai di media sosial.

Baca juga Wahai bakal YB – Tahu tak, berapa banyak PMKS di tempat anda?

Baca juga Panik anak hilang padahal ibu sibuk berborak di rumah jiran, orang yang selamatkan pula dituduh menculik