Malaysia Dateline

Wahai bakal YB – Tahu tak, berapa banyak PMKS di tempat anda?

Bakal wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini perlu memberi tumpuan terhadap pembangunan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) di kawasan masing-masing.

Profesor Ekonomi UKM-Graduate School of Business, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, pemimpin bergelar YB ini perlu mendapatkan data mengenai PMKS tempatan dengan merujuk pihak berkaitan.

“Anda (bakal YB) tahu berapa banyak PMKS di tempat anda? Kenali mereka, wujudkan platform untuk bertemu secara terancang dan kenalpasti keperluan mereka untuk meningkat maju.

“Jabatan Perangkaan ada menyediakan data sub-nasional untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan Parlimen. Dapatkan data kawasan anda.

“Temui agensi-agensi kerajaan dari pelbagai kementerian yang terlibat dalam pembangunan PMKS untuk menyelaras dan membangunkan program-program pembangunan keusahawanan yang berimpak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali

Menurutnya, pemimpin tempatan perlu mengkaji kekuatan usahawan di kawasan masing-masing yang boleh dibangunkan.

“Gerak seiring. Perancangan yang lebih bersifat mikro diperlukan. Jadi YB abad ke 21!” cabar pakar ekonomi itu lagi.

Beliau menegaskan bahawa PMKS merupakan enjin utama ekonomi Malaysia yang mempunyai kaitan rapat dengan poket rakyat dan juga daya saing serta daya tahan ekonomi negara.

“Kita selalu mendengar kejayaan menarik pelaburan asing (FDI) sebagai petanda daya saing negara tetapi jarang kita berbincang mengenai pelaburan domestik (DDI) yang sebahagian besarnya ialah PMKS.

“PMKS merangkumi sekitar 97 peratus dari perusahaan berdaftar dan sejumlah 66 peratus tenaga kerja kita bekerja dengan PMKS.

“Perusahaan Mikro (pekerja lima atau kurang) merupakan komposisi terbesar, iaitu 70 peratus dari jumlah keseluruhan. Hanya tiga peratus perusahaan berdaftar adalah syarikat besar,” jelasnya.

Noor Azlan yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) berkata, usaha menarik FDI perlu diteruskan tetapi mesti diselaraskan dengan penyertaan PMKS tempatan.

Dalam masa sama, ujarnya, capaian PMKS untuk mengetahui dan mengaplikasi teknologi baharu dan berfungsi dalam ekonomi digital mesti dekat dan mudah untuk mereka.

“Mesti ada institusi khusus untuk tujuan ini. Full time, well resourced, well equipped, effective and accountable!

“Sejauh manakah PMKS hari ini bersedia untuk mengadaptasi teknologi baharu? Kita perlu memberi perhatian yang lebih khusus ke atas peningkatan atau mobiliti ke atas (upward mobility), kemajuan PMKS.

“Kini, kurang dari 10 peratus eksport negara datang dari PMKS. Apakah keupayaan PMKS untuk terlibat dalam perdagangan global, merentasi sempadan dan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas yang Malaysia sertai?

“Berapa banyak PMKS berada dalam rantaian pengeluaran syarikat multinasional yang bertapak di Malaysia?” katanya.

Pakar ekonomi itu menegaskan bahawa kejayaan mentransformasikan PMKS adalah tunjang utama yang akan benar-benar membuktikan negara ini berganjak ke hadapan.

Baca juga Bersedia dengan kesan air surut global – Siapa dan sektor ekonomi mana akan terkesan?

Baca juga Adik ini timang bola ala pemain profesional, netizen luah rasa kagum dengan kemahiran dimilikinya