Tular satu video mencuit hati apabila sepapan telur yang didakwa ditinggalkan seorang pelanggan di sebuah homestay di Kedah, tidak disangka telah menetas menjadi anak itik.
Perkara lucu itu dikongsikan pemilik homestay, Zakaria Nazir di laman TikTok miliknya yang memberitahu kejadian ‘rare’ itu pertama kali berlaku sepanjang dia mengendalikan rumah inap sewa tersebut.
Video itu sehingga ini telah ditonton sebanyak 825,000 kali dan mendapat lebih 55,000 tanda suka sejak ia dimuat naik semalam.
Menerusi video berkenaan, dapat dilihat sepapan telur di dalam bekas dipenuhi itik yang baru menetas.
Meninjau ke ruangan komen, Zakaria berkata telur itu sebenarnya ditinggalkan pelanggannya sekitar satu minggu.
Telur itu juga difahamkan digunakan pemancing sebagai umpan.
Namun tidak menyangka, telur-telur berkenaan akan menetas.
Zakaria memaklumkan jumlah anak itik yang telah menetas adalah sebanyak 13 ekor, manakala lapan biji lagi belum menetas.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang terhibur selain menganggap ianya adalah satu rezeki untuk pemilik homestay berkenaan.
“Fuh. Rezeki beli sepapan telur dapat banyak ekor itik. belalah, dekat depan nanti dapat lagi banyak telur,” komen seorang pengguna TikTok.
“Bermulalah kisah seorang usahawan ternak itik terbesar di Malaysia,” seloroh yang lain.
“kena scam….ingatkan kita nak makan dia..skali kita yang kene bagi dia makan,” komen yang lain pula.
Baca juga: CUEPACS gesa beri rakyat cuti umum khas sehari sebelum hari pengundian