Tular kereta polis potong barisan di ‘car wash’, polis perjelas pekerja kedai yang minta kereta dibasuh dahulu

Oleh KIM SYAZIE

Pada semalam tular satu ciapan dari orang awam yang mendakwa sebuah kereta peronda polis memotong barisan ketika membasuh kenderaan di sebuah pusat mencuci kenderaan di Pantai Dalam.

Dalam ciapan berkenaan, individu berkenaan memuatnaik gambar kereta peronda polis yang sedang dicuci dan bertanya adakah polis tidak perlu menunggu giliran untuk kereta mereka dicuci.

“Nak tanya sikit polis basuh kereta memang tak payah beratur ke? Boleh potong semua orang yang tengah tunggu giliran?”.

Susulan ciapan itu, Polis Brickfields menafikan anggotanya memotong barisan ketika mencuci kereta peronda di sebuah pusat cuci kenderaan.

Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati kereta peronda itu dipandu seorang pegawai dari balai polis Pantai Dalam dan pergi ke pusat cucian kereta di kawasan itu.

“Apabila sampai di lokasi, pegawai itu meletakkan kenderaan di belakang kedai dan menunggu giliran.

“Pegawai polis itu tidak meminta untuk memotong barisan tetapi pekerja di pusat cucian itu memintanya untuk masuk (kereta untuk dicuci).

“Selepas kereta peronda itu dicuci, pegawai itu membuat bayaran dan pergi untuk menyambung tugasnya,” kata Amihizam dalam kenyataan.

Katanya, beliau memandang serius tuduhan berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas pada mana-mana anggota polis yang melanggar peraturan.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian seperti itu boleh menghubungi talian hotline polis Brickfields di 03 2297 9222 dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999, atau mana-mana balai polis berdekatan.

Baca juga: ‘Bungkus diri’ dalam tren, tindakan wanita ini buat netizen geli hati

Baca juga: Terbalikkan kereta Myvi sehingga pemilik rugi RM15,000, 7 individu mengaku bersalah