PN kaji pengeluaran bersasar KWSP: ‘Pastikan negara ditadbir kerajaan yang tidak bankrap idea’ – Anwar

Oleh ARIF ATAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pendirian Perikatan Nasional (PN) yang bersedia melaksanakan penilaian semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan menegaskan bahawa simpanan tabungan untuk persaraan itu bukan wang kerajaan sebaliknya wang rakyat bagi tujuan simpanan masa depan dan ia telah pun diberikan sebelum ini.

“Tumpuan yang harus diberikan sekarang adalah untuk memulihkan semula ekonomi yang sudah rosak, turunkan harga barang, berusaha untuk meningkatkan pelaburan asing serta menyelesaikan isu kesenjangan, pengangguran dan kemiskinan yang melarat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar Ibrahim

Sehubungan itu, Anwar yang juga calon Parlimen Tambun menyeru supaya rakyat menolak pemimpin angkuh dan sombong yang tidak fikir nasib rakyat yang kian melarat.

“Jangan cuba memperdayakan dan merendahkan kebijaksanaan rakyat dengan menjanjikan kesenangan yang sementara walhal isu pokok tidak cuba ditangani semasa gerombolan ini memerintah.

“Saya mohon kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit bagi memastikan negara ini ditadbir oleh kerajaan yang benar-benar komited dan tidak bankrap idea dan rencana untuk masa depan,” kata Anwar lagi.

Kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kesediaan blok gabungan parti itu untuk melaksanakan penilaian semula pengeluaran KWSP secara bersasar jika berjaya membentuk kerajaan seusai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Untuk rekod, sehingga tahun lalu, sejumlah RM101 bilion sudah dikeluarkan daripada KWSP melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang diperkenal bagi membantu pencarum yang terkesan akibat penularan Covid-19 sebelum ini.

Ekoran itu, kira-kira 73 peratus daripada ahli KWSP tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara nanti.

Daripada 15.1 juta ahli KWSP, 6.1 juta mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dan 3.6 juta mempunyai baki kurang RM1,000.

Baca juga PN belanja mewah dalam PRU-15, dari mana dananya, tanya penganalisis politik

Baca juga Cinta tak kenal siapa… netizen sangka pasangan ini anak dan bapa…