Tiada niat lain hanya mahu bahagiakan ibu tunggal anak 5-‘Abang sado’ pilih isteri 23 tahun lebih tua

Oleh NASUHA RAHMAN

Tiada niat lain hanya mahu membantu membahagiakan seorang ibu tunggal anak 5, kini menjadi realiti buat jejaka 24 tahun yang memperisterikan wanita 23 lebih tua daripadanya.

Melalui perkongsian seorang pemuda di TikTok telah menceritakan kisah bagaimana dia tergerak hati menyunting isteri tercinta untuk dijadikan suri di hatinya walaupun jarak usia mereka adalah 23 tahun.

Jejaka yang bertubuh sado itu dilahirkan pada tahun 1998 telah berkahwin dengan isterinya yang kini sudah berusia 47 tahun.

Menerusi TikTok @geemie8599 dia hanya berkenalan selama 5 bulan menerusi Facebook dan terus menjadikannya isteri kerana berasa terpanggil untuk membantu wanita berkenaan yang ketika itu merupakan ibu tunggal dengan 5 orang anak yang masih memerlukan perhatian.

Kini usia perkahwinan mereka sudah mencecah 4 tahun dan mengakui sangat bahagia lebih-lebih lagi anak-anak tiri sangat menerima kehadirannya sebagai ‘bapa muda’.

Walau bagaimanapun, pemuda tersebut akui bahawa pada awalnya ada juga perasaan kekok apabila anak sulung isterinya hampir sebaya dengannya, namun dia bersyukur kerana anak-anak tetap menghormatinya.

Dia juga menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang bapa selepas sah bergelar suami kepada ibu mereka.

Perkongsian yang dibuat oleh pengguna TikTok itu telah mendapat pelbagai maklum balas daripada warganet.

Rata-rata memuji pemuda berkenaan kerana mempunyai niat yang murni dan mendoakan agar mereka sekeluarga hidup harmoni hingga ke akhir usia.

Baca juga: Pertembungan 2 wanita di Sepang-Walau kawan jadi lawan tapi boleh senyum, bersalam dan bertepuk tampar