Menjelang hari membuang undi 19 November ini tiba-tiba negara dikejutkan dengan 800,000 data pengundi di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dijual di laman penggodam.
Kebocoran data ini satu perkara serius dan perlu diambil tindakan segera oleh SPR dan kerajaan.
Implikasi data peribadi dicuri dan dijual ialah sindiket scammer akan berleluasa untuk memangsakan pengguna dengan mengeksploitasi data yang diperolehi.
“Pihak berkuasa tidak boleh membiar hal ini berlaku tanpa disiasat dan diambil tindakan. Pihak berkuasa tidak harus menunggu laporan polis untuk melakukan siasatan berasaskan Akta Perlindungan Data Peribadi ( APDP ) 2010 (Akta 709) .
“Kebocoran data sudah pun dilaporkan pada April. Soalnya pihak SPR perlu menjelaskan apakah tindakan telah diambil untuk memastikan hal ini dapat disiasat dan dibenteras.
“Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak harus melihat isu ini sebagai isu kecil ketika PRU 15 sedang berjalan,” demikian menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid.
Jelas beliau, pihak SPR perlu mengambil langkah untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab menjual data dari kebocoran SPR didakwa jika jelas ia suatu jenayah .
“Adalah berbahaya data yang membabitkan maklumat pengundi merujuk kepada pangkalan data SPR dicuri dan dijual. Laporan bahawa ia melibatkan 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka sangat serius.
“SPR mengumpul gambar-gambar ini sebagai sebahagian daripada laman web Daftar MySPR yang dilancarkan pada 2019.
“Kami menuntut siasatan segera dilancarkan kerana laporan itu mendakwa pihak tertentu telah menjual data sehingga mencecah lebih RM9,000,” katanya.
Kenyataan PM sementara Datuk Seri Ismail Sobri bahawa pihak SPR perlu menyiasat segera mengenai isu ini wajar diberi perhatian dan tindakan dilaksanakan tanpa menunggu laporan polis.
Baca juga: Selesaikan masalah gaji rendah di kalangan graduan antara keutamaan PH
Baca juga: Power! Remaja ni berjaya susun 6,931 kiub rubik hanya dalam masa 24 jam