Malaysia Dateline

Selesaikan masalah gaji rendah di kalangan graduan antara keutamaan PH

Antara keutamaan kerajaan baharu yang akan dibentuk oleh Pakatan Harapan selepas PRU-15 adalah menyelesaikan krisis gaji rendah di kalangan graduan di negara ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan baru selepas PRU-15 mesti meletakkan penyelesaian krisis gaji sebagai keutamaan tertinggi dan campur tangan dalam penetapan gaji purata, bukan sahaja gaji minima.

Menurut Rafizi, antara yang akan kerajaan Pakatan Harapan lakukan adalah:

  • Kerajaan menetapkan sasaran gaji purata yang perlu dijadikan dasar utama ekonomi negaraKerajaan bersetuju menyuntik dana untuk memastikan pertumbuhan gaji tahunan mengikut sasaran 10 tahun yang ditetapkan
  • Insentif kewangan dan percukaian kepada majikan distrukturkan supaya berkait dengan sasaran gaji purata nasional
  • Kenaikan gaji tahunan berpandu kepada nilai tambah ekonomi untuk mengukuhkan pendapatan majikan, kemudiannya diagihkan kepada pekerja secara lebih adil

“Saya mungkin golongan ahli politik yang minoriti yang bercakap mengenai gaji rakyat, tapi saya tahu majoriti rakyat di luar sana setuju dengan saya,” kata Rafizi menerusi facebook beliau.

Langkah ini, kata Rafizi adalah kerana isu gaji rendah ini menjadi perbualan rakyat negara ini sejak sekian lama.

“Anda belajar susah payah, mak ayah keluar belanja, tanggung hutang pendidikan, bila keluar nak dapat kerja yang gaji RM2,500 pun susah,” katanya.

Manurut calon Pakatan Harapan di Parlimen Pandan itu, masa beliau kecik-kecik dahulu, beliau juga datang dari keluarga susah.

“Saya belajar bersungguh-sungguh hingga dapat keputusan baik dan ke luar negara sebab saya tahu masa depan saya dan keluarga akan terjamin dengan ijazah yang baik.

“Saya ni memang kaki bimbang – bimbang tengok hutang negara, bimbang tengok prestasi ekonomi, bimbang pasal rasuah.

“Tapi yang saya paling bimbang dan kesian ialah nasib anak-anak muda bawah 30 tahun yang bergelumang dengan krisis gaji rendah yang tidak sepadan dengan kelulusan mereka,” katanya.

Menurut beliau, ada jurutera atau arkitek yang gaji mereka bawah RM2,000 selepas ijazah. Banyak yang kerja kontrak.

Akhirnya, ramai yang terpaksa berniaga kecil-kecilan atau menjadi rider dengan Grab, FoodPanda dan lain-lain.

“Jika ini berterusan, kita akan ada satu generasi yang tidak lagi yakin pendidikan boleh memberi kehidupan yang lebih baik.

“Bila tiba masa anak-anak mereka, generasi ini mungkin merasakan pelaburan dalam pendidikan tidak berbaloi.

“Kita berdepan dengan generasi akan datang yang semakin tidak yakin dengan pendidikan.

“Sebab itu krisis gaji rendah ini memerlukan penyelesaian di luar kotak. Negara tidak lagi boleh membiarkan majikan dan pekerja semata-mata merundingkan dan menetapkan gaji mengikut kehendak pasaran kerana sampai bila-bila ia tidak akan naik dengan kadar yang cepat,” kata beliau.

Menurut beliau, soal gaji berkait rapat dengan struktur ekonomi negara, iaitu tahap nilai tambah yang dihasilkan ekonomi.

Lebih tinggi nilai tambah, kepakaran yang diperlukan juga lebih tinggi, maka pekerja juga mendapat gaji yang lebih tinggi bersesuaian dengan kepakaran.

Tanggungjawab menganjakkan struktur ekonomi negara ke tahap nilai tambah yang lebih tinggi adalah tanggungjawab kerajaan.

“Kita bayar menteri-menteri untuk melaksanakan ini tetapi mereka gagal,”katanya.

BACA JUGA Jangan percaya kenyataan Hadi, ia sentiasa berubah, kata bekas timbalan

JUGA RM5.7 juta tiba-tiba dalam akaun-Tindakan pantas bank segera bekukan akaun sekat kad ATM pegawai polis

DAN JUGA Amalkan baca al-Quran, jangan tinggalkan – Ini pesan Pak Su Mid Kuala Nerang