Anwar laksana Manifesto No 1, kurangkan kos sara hidup

Oleh BORHAN AHMAD

Belumpun Kabinet Kerajaan Malaysia 2022 dibentuk, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menunaikan manifesto atau Tawaran Pakatan Harapan No 1 iaitu untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat apabila menjadikan agenda itu paling utama dalam kerajaan pimpinan beliau.

Menurut satu siaran yang dikeluarkan oleh Pakatan Harapan, hari ini Perdana Menteri ke 10 itu memanggil satu mesyuarat yang dinamakan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022.

Mesyuarat yang akan diadakan pada jam 11 pagi di Bilik Mesyuarat Perdana Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Putra Perdana dibuat sebelum Kabinet dibentuk.

Ia adalah mesyuarat pertama yang dipanggil oleh Anwar selaku Perdana Menteri ke 10 selepas mendengar taklimat dari pegawai tinggi kerajaan khasnya Ketua Setiausaha Negara., Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam kempen pilihan raya ke 15, Anwar sentiasa menekan soal kos hidup rakyat yang terbeban teruk ekoran kenaikan harga barangan khasnya barangan keperluan asas.

Dalam masa yang sama kadar gaji di negara ini juga tidak berubah sejak berpuluh tahun lalu khasnya di kalangan siswazah.

10 tawaran utama yang dijanjikan Pakatan Harapan.

Melalui Tawaran Harapan PRU15 yang bertajuk ‘Kita Boleh’, Pakatan Harapan menjadikan Tangani isu Kos Sara Hidup sebagai agenda nombor 1 mereka.

“Pasca pandemik Covid-19, rakyat kini berdepan dengan isu kos sara hidup yang membebankan. Tahun 2021 mencatatkan kadar inflasi sebanyak 2.1 peratus dan ia meningkat kepada 4.7 peratus untuk tempoh Januari hingga Ogos 2022.

“Kenaikan kadar inflasi berpunca dari permintaan yang tinggi, kenaikan harga komoditi dan gangguan rantaian bekalan.

“Kita boleh menangani isu kos sara hidup dengan mengambil pendekatan yang mendahulukan kepentingan rakyat.

“Biarpun inflasi bergantung kepada keadaan pasaran, kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat boleh melaksanakan dasar yang menurunkan kadar inflasi atau meringankan beban rakyat.

“HARAPAN juga bertekad untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu kos sara hidup dan bukannya solusi jangka pendek,” kata tawaran itu.

Melalui agenda mengutamakan rakyat juga, Anwar berjanji tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri, mengurangkan bilangan menteri kabinet dan memotong sebahagian gaji mereka.

BACA JUGA Turun harga minyak: Itu janji Anwar bersama PR pada 2008

JUGA Sokong Anwar untuk bawa Malaysia menjadi Harimau Asia kembali

DAN JUGA Anwar, ketokohan dan pengiktirafan dunia