Saya harap tulisan ini tidak menjadikan saya DAP. Penulis amat meluat dan loya tekak melihat kenyataan sinis Haji Hadi mengenai; “Adilkah pengadil Piala Dunia alih tiang gol bagi yang kalah”.
Kalau dulu beliau mengkerakan dan men-tupaikan kepada sesiapa yang mengkritik kerajaan PN.
Hakikatnya yang melompat-melompat seperti kera untuk menjadi kerajaan adalah yang berada didalam PN, dan menebuk-nebuk seperti tupai juga adalah mereka juga. Menepuk air di dulang terpercik di muka sendiri.
Mari kita analisis. Adilkah sekiranya sebelum pertandingan belum bermula, pemain-pemain di pihak lawan yang lebih gagah yang cukup komposisinya dibeli dan dimasukkan ke dalam pasukannya yang tidak cukup bilangan?
Hingga menyebabkan mereka cukup bilangan pemain diisytihar tiba-tiba kononnya tidak boleh masuk padang kerana tiada pemain dan lalu diisytihar pula kalah!
Dari mana pula dapat angka 115 itu, sedangkan kapten di sebelah sana pun terpinga-pinga kehilangan pemainnya.
Haji Hadi.. Haji Hadi.. Ini bukan isu tiang gol, isunya kamu mencuri pemain atau mungkin membeli pemain!
Keduanya, belum pun wisel ditiup oleh pengadil untuk memulakan pertandingan, tiba-tiba, sekonyong-koyong pasukan anda sendiri mengisytiharkan menang!
Pemain cukup, tapi sebelum pun kiraan gol dibuat oleh pengadil, anda pula mengistiharkan menang.
Sebelum pun Seri Paduka Baginda YDPA menjalankan proses yang mengikut Perlembagaan, anda sudah mengisytiharkan menang.
Tidak pernah berlaku dalam perlawanan piala dunia begitu. Anda bermain, anda pengadil pula dan anda juga yang meniupkan wisel, anda juga menukarkan pengisytiharanan di papan tanda bahawa anda menang. Ajaib.
Negara mempunyai proses mengikut Perlembagaan. Undang-undang juga tidak mengizinkan anda mencuri pemain, jika ia tanpa keizinan kapten.
Anda tidak dibenarkan meniup wisel bagi pihak pengadil (referee). Biar pengadil memula dan mengakhirkan permainan.
Kalau anda membeli pemain dengan habuan maka itu rasuah namanya. Tiada siapa yang mengalihkan tiang gol, melainkan ada sendiri.
Jika anda terus-terusan mempersoal kuasa Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, itu derhaka namanya.
Berhentilah membuat ulasan demi ulasan yang tidak cerdik. Berhentilah membinatangkan orang lain (Kera atau Tupai), nanti kita yang akan kelihatan tidak cerdik dan semakin tidak cerdik.
Cerminlah diri, takut-takut diri sendiri yang berwajah kera. Cermin-cerminlah wajah, bimbangnya kitalah tupai yang menebuk buah itu.
Datuk Seri Anwar selaku Perdana Menteri ke 10 dengan jiwa besar telah menawarkan “olive branch” kepada anda untuk membina perpaduan, seperti yang juga dititah oleh Yang DiPertaun Agong. Anda memilih sebaliknya. Jika anda tidak faham makna “olive Branch” sila buka kamus.
Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Sciences, Jordan. Walaubagaimana tulisan ini bukan menggambarkan pendirian akademi, ia merupakan pandangan penulis.
BACA JUGA Pas “Big Winner” tapi ke mana?
JUGA Luruh jantung tengok mak-mak merempit siap buat aksi Superman masa tunggang motor