Anwar umum senarai Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, lantik dua Timbalan Perdana Menteri

Oleh ARIF ATAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan barisan Kabinetnya untuk bersama-sama pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Pada sidang media khas di Putrajaya itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan turut memegang portfolio kewangan.

Beliau bakal dibantu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Zahid yang juga Presiden Umno dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Fadillah dari blok Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut memegang jawatan Menteri Perladangan dan Komuniti.

Sementara itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Rakan komponen PH, DAP melalui Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban dilantik sebagai Menteri Pengangkutan.

Pelantikan tersebut sekaligus mengembalikan Anthony Loke ke jawatan yang pernah disandangnya di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Menepati pendirian Anwar sebelum ini mengenai saiz Kabinet yang lebih kecil, jemaah Menteri yang diumum sebentar tadi terdiri daripada 28 orang termasuk Anwar manakala senarai timbalan menteri akan diumumkan kelak.

Kesemua 28 Menteri Kerajaan Perpaduan terbabit akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jam 3 petang esok.

Sejurus itu, kata Anwar, beliau akan segera memanggil jemaah Menterinya untuk perjumpaan khas.

Berikut merupakan senarai penuh Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar Ibrahim:

Perdana Menteri & Menteri Kewangan:
Datuk Seri Anwar Ibrahim

Timbalan Perdana Menteri:
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Fadillah Yusof

Menteri Pertahanan: Datuk Seri Mohamad Hasan

Menteri Ekonomi: Rafizi Ramli

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan: Nga Kor Ming

Menteri Kerja Raya: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Menteri Dalam Negeri: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Pendidikan Tinggi: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Menteri Pendidikan: Fadhlina Siddiq

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan: Mohamad Sabu

Menteri Perladangan dan Komoditi: Datuk Seri Fadillah Yusof

Menteri Perdagangan Antarabangsa: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Menteri Luar Malaysia: Datuk Seri Zamri Kadir

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup: Datuk Seri Salahuddin Ayub

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Ewon Benedick

Menteri Kesihatan: Dr Zaliha Mustafa

Menteri Sains dan Teknologi: Chang Lih Kang

Menteri Komunikasi Digital: Fahmi Fadzil

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim: Nik Nazmi Nik Ahmad

Menteri Belia dan Sukan: Hannah Yeoh

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Datuk Seri Nancy Shukri

Menteri Agama: Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi): Datuk Seri Azalina Othman Said

Menteri Pelancongan: Tiong King Sing

Menteri Perpaduan Negara: Aaron Ago Anak Dagang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak: Armizan Mohd Ali

Baca juga Ekonomi dijangka meleset tahun depan – Cuba 6 tips ini untuk mula berjimat cermat

Baca juga Empat dapur hotel diarah tutup berikutan faktor kebersihan