Presiden Pas diminta hadir ke Balai Polis Sentul petang ini

Oleh BORHAN AHMAD

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang buat pertama kalinya akan memberikan keterangan kepada polis ekoran beberapa laporan polis terhadap beliau.

Beliau dijangka akan hadir ke IPD Sentul, Kuala Lumpur pada jam 3 petang hari ini, 5 Disember 2022 bagi memberi keterangan, susulan suatu laporan polis telah dibuat oleh beberapa pihak terhadap beliau.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Akhbar Presiden Pas itu, Abdul Malik Ab Razak, dalam satu kenyataan media hari ini.

28 November lalu, sebuah NGO Islam, Raudhatul Muslimin membuat laporan polis terhadap Hadi, dengan berkata kenyataannya berunsur fitnah dan tidak sejajar ajaran Islam, selain boleh mengganggu ketenteraman awam.

NGO itu juga menuduh Hadi tidak menghormati Perlembagaan dan Agong.

Hadi menggunakan analogi bola sepak untuk mengatakan walaupun satu pasukan itu menang, pengadil “tiba-tiba memberi masa tambahan” bagi memberi peluang kepada pasukan kalah “untuk menang dengan apa cara sekalipun”.

Komennya yang dipetik daripada kolum ditulisnya dalam lidah rasmi Pas, Harakah yang ditafsirkan sebagai merujuk gesaan Agong untuk membentuk kerajaan persekutuan perpaduan.

Sementara itu, Hadi menegaskan pihaknya tidak mempunyai masalah dengan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mahu polis menyiasat pemimpin PAS.

Ditanya mengenai kenyataan dibuatnya yang dianggap keterlaluan sehingga boleh mengancam keharmonian negara, Hadi berkata beliau akan memberikan kerjasama jika perlu.

“Nak report (polis) report lah, saya sedia pergi Bukit Aman tak apa,” katanya pada sidang media selepas program ceramah sempena pilihan raya DUN Tioman, Pahang, malam tadi, menurut Malaysiakini.

BACA JUGA Berhentilah gugat kerajaan, rakyat mahu kita maju ke depan