Kesal dengan tragedi Fun Fair walaupun belum mendapat kelulusan telah dibuka akhirnya mengundang melapetaka kepada orang ramai.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan rasa kecewa dengan kejadian yang menimpa Norfaziera Zulkiffle dan adiknya Shahfaraz Zulkiffle dari Kampung Bukit Kuching.
Beliau yakin aspek prosedur kelulusan sentiasa dikemaskini oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Dan amat malang bagaimana pihak penganjur Fun Fair yang tidak diberikan kelulusan, telah beroperasi dan dibuka kepada orang awam, selama tiga hari sebelum tarikh kejadian.
“Ini pemerhatian saya terkait kemalangan di tapak Fun Fair, Eco Grandeur Puncak Alam, minggu lepas yang telah melibatkan kemalangan dan kecederaan pengunjung dari warga Kuala Selangor.
“Saya ingin mengingatkan dan menegaskan semua pihak khususnya MPKS, selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), untuk mempastikan penguatkuasaan prosedur dijalankan dengan lebih berkesan,”kata beliau.
Malahan kata beliau, mengikut laporan yang diterima tapak Fun Fair telah disiapkan seawal dua minggu sebelum pembukaan rasmi.
“Kejadian tragis yang pernah dilaporkan berlaku seumpama ini, yang melibatkan keselamatan dan nyawa penduduk sangatlah dikesali.
“Saya yakin kejadian seperti ini dapat dielakkan jika ada pemantuan ketat yang dibuat dari awal,”katannya.
Kelmarin, (14 Disember) Dr Dzulkefly berkesempatan untuk melawat mangsa, saudari Norfaziera Zulkiffle dan adiknya Shahfaraz Zulkiffle dari Kampung Bukit Kuching.
“Alhamdullilah kedua-dua mereka tidak mengalami cerdera yang serius, namun pihak penganjur harus bertanggungjawab diatas apa yang telah menimpa ke atas mereka.
“Saya mohon kerjasama penuh dari PBT dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi penguatkuasa yang lain, supaya turut bekerjasama, mengambil peranan penting agar Kuala Selangor sebagai statusnya, sebuah Perbandaran, akan terus kita bangunkan bersama, di segi kemudahan fasiliti-fasiliti dan kesejahteraan serta peningkatan keselamatanya,”ujar beliau.
Dr Dzulkefly menziarahi dua adik beradik yang cedera selepas terjatuh daripada permainan di Tapak Fun Fair Puncak Alam pada Isnin yang lalu.
Tular beberapa video mengenai kejadian itu di media sosial seluruh negara.
Mereka dibenarkan pulang semalam (discharge) dari Hospital Shah Alam ke rumah keluarga beliau beralamat di Jalan Kenari, Kg Bukit Kuching, Jeram KS.
Atas rasa tanggungjawab, Dr Dzulkefly turut menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua mangsa berkenaan dan mendoakan semoga mereka cepat sembuh seperti sediakala.
Baca juga: Selepas pen harga RM2 lebih jadi perhatian, sepiring cucur depan PM Anwar pula jadi sebutan