Malaysia Dateline

Selepas pen harga RM2 lebih jadi perhatian, sepiring cucur depan PM Anwar pula jadi sebutan

Bukan sahaja pengucapan dan penampilannya mendapat perhatian umum, hidangan sepiring cekodok atau cucur pisang semasa kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bank Negara Malaysia (BNM) semalam pun jadi sebutan.

Menerusi ciapan di Twitter, orang ramai nampaknya tertarik dengan juadah ringkas yang dianggap menu rakyat marhaen itu.

“Saya rasa itu cekodok pisang. Cekodok pisang di mana-mana.

“Kerja, kerja jugak… cekodok wajib ada.. Ye, dok boss.

“Cukup ke cekodok banyak tu Datuk Seri?” antara reaksi teruja netizen melihatkan terdapat beberapa biji cucur sahaja di piring di hadapan Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan kelihatan segak berbaju batik berkongsikan beberapa gambar kunjungannya ke BNM.

Katanya, kunjungan yang turut disertai kedua-dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim bertujuan untuk “mendengar taklimat mengenai prospek, tantangan serta tumpuan dasar ekonomi negara saat ini.”

Sebelum ini, dilaporkan anak keempat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan mendedahkan bahawa ayahnya memang menggemari cucur pisang.

Walaupun ada banyak hidangan yang lain, Nurul Iman berkata, ayahnya tetap akan memilih cekodok untuk mengalas perut.

Bulan lalu, pen berharga RM2 lebih yang digunakan Anwar untuk menandatangani warkah pelantikan mengundang rasa teruja rakyat.

“PM Ke-10 guna pen RM2.35 untuk tandatangan warkah pelantikan.

“Lepas ni saya nak guna pen ni jugaklah untuk tandatangan buku,” ciap @fakhrifadzli yang sehingga kini mendapat lebih 6,000 retweets.

Baca juga Kelantan, Terengganu terancam banjir besar minggu depan, kata aktivis