AMK hulur bantuan banjir, mobilisasi sukarelawan

Oleh ARIF ATAN

Banjir yang terus memburuk dan mengakibatkan peningkatan jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah mengambil tindakan awal dengan melakukan kerja-kerja perhubungan untuk mangsa terjejas, persediaan logistik bagi saluran bantuan dan mobilisasi sukarelawan untuk mangsa-mangsa banjir bagi memulihkan kehidupan mereka.

Ketua AMK Malaysia, Adam Adli Abdul Halim berkata, simpati dan kegusarannya terhadap kira-kira lebih 44,000 mangsa yang terkesan dengan banjir besar yang berlaku di Pantai Timur itu.

“Pada peringkat sekarang, AMK akan mengumpul sumbangan yang berkeperluan lebih mendesak terutama bekalan air minuman, makanan kering dan siap makan, ubatan asas, tuala wanita, lampin bayi dan susu formula antara lainnya.

“AMK juga akan turut memobilisasi anggota-anggotanya dari seluruh negeri selain mengaktifkan Skuad KEADILAN bersama-sama dengan KHIDMAT untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur,” katanya menerusi kenyataan media.

Adam Adli yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan merayu rakyat Malaysia memberi sumbangan ikhlas bagi meringankan mangsa-mangsa banjir yang sedang mengharungi ujian yang getir tersebut.

“AMK bersedia untuk melebarkan jaringan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha berhadapan musibah ini,” katanya lagi.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Parti Keadilan Rakyat. Akaun Bank: 2124 39600 10033 (RHB) dan Rujukan: Misi Banjir AMK.

Baca juga Tular ban pecah di Pasir Mas akibat banjir, penduduk diberi amaran berjaga-jaga