‘Buat aduan di media sosial saja boleh dapat perhatian menteri’ – Rakyat luah rasa senang dengan Kerajaan Perpaduan

Oleh ARIF ATAN

Tindakan pantas Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil menyelesaikan masalah liputan internet mendapat pujian rakyat Malaysia kerana sebelum ini agak sukar untuk menghubungi pihak terlibat bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.

Rakyat meluahkan rasa senang untuk berhubung dengan menteri dalam Kerajaan Perpaduan kerana banyak masalah boleh diselesaikan hanya menerusi media sosial.

“Sekarang ini, lebih senang membuat aduan menerusi Facebook, Twitter. Hanya perlu ‘tag’ nama serta ia lebih cekap dan berkesan,” ujar seorang netizen.

Beliau juga membandingkan cara tersebut dengan menghubungi terus talian dan hanya dapat bercakap dengan operator rakaman sahaja.

“Beri arahan pusing-pusing kemudian bagi pula pelbagai alasan, langsung tak boleh dipercayai. Undian kami akhirnya berjaya membuat perubahan,” tambahnya lagi.

Seorang lagi pengguna memuji tindakan Fahmi kerana sebelum ini pihak Sacofa Sdn Bhd (SACOFA) yang membina menara telekomunikasi di Sarawak dikatakan selalu lepas tangan dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Terbaik YB, selalunya pihak ini akan lepas tangan. Saya pernah bertanya pihak tersebut namun hanya dibalas dengan menyatakan ia bukan urusan mereka dan menyalahkan syarikat telco.

“Kemudian saya nasihatkan SACOFA untuk tidak mengambil kontrak membina menara telekomunikasi, bagi sahaja pada syarikat lain,” katanya.

Pengguna tersebut juga menyatakan rasa kecewa kerana banyak kawasan di Sarawak masih lagi menggunakan 3G walaupun kerajaan sudah bertukar tiga kali Perdana Menteri.

Dalam hal berkaitan, Fahmi memaklumkan sudah menerima aduan mengenai masalah liputan komunikasi di Belaga yang diterima melalui Facebook.

Wanita tersebut cuba memohon bantuan daripada Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk menyelesaikan masalah akses internet di Sungai Asap, Belaga.

“Kenapa tiada line di Sungai Asap Belaga, hari Jumaat ini kena buat pembentangan dengan ketua jabatan untuk projek master. Sebelum ini line sudah elok tapi sekarang sudah tidak, mohon bantu,” tulisnya sebelum dibalas Fahmi.

Fahmi dalam hantaran hari ini memaklumkan sudah menerima aduan mengenai masalah liputan di Belaga.

“Saya telah berhubung dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk dapatkan maklum balas, dan saya difahamkan ada masalah ‘backhaul’ yang dikenalpasti SACOFA Sdn Bhd.

“Pihak SACOFA telah menghantar pasukan Pengurusan dan Operasi ke lokasi malam tadi juga dan kerja-kerja fibre splicing sedang dijalankan.

“InshaAllah perkhidmatan dijangka kembali pulih hari ini,” ujarnya lagi.

Baca juga Identiti Malaysia di tangan PM Anwar: Ini tiga perkara rakyat di Malaysia Timur dambakan