Malaysia Dateline

Identiti Malaysia di tangan PM Anwar: Ini tiga perkara rakyat di Malaysia Timur dambakan

Cabaran terbesar untuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah beliau perlu menentukan identiti Malaysia yang diperlukan oleh rakyat, kata James Chin, Pengarah Institut Kajian Asia, Universiti Tasmania di Australia.

“Adakah identiti Malaysia itu sebagaimana yang diimpikan oleh penduduk bandar yang menyokong Pakatan Harapan (PH), Malaysia ala Pas atau Malaysia yang didambakan oleh penduduk Sabah dan Sarawak?

“Bagaimanakah beliau boleh menyatukan identiti yang berlainan ini?” kata penyelidik yang berasal dari Sarawak itu.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar bertajuk “Perjalanan Anwar ke Tampuk Kuasa: Apa Seterusnya?” anjuran Universiti Melbourne dan Asialink Group.

Dua daripada tiga identiti di atas sukar menjadi kenyataan, tambahnya sambil menyatakan Malaysia yang didambakan oleh rakyat Sabah dan Sabah mudah untuk menjadi realiti kerana rakyat di Malaysia Timur hanya memerlukan tiga perkara – autonomi, kedudukan khas untuk Sabah dan Sarawak dan perjanjian MA63 dikotakan.

Kerajaan diterajui PM Anwar diharap memberi lebih perhatian kepada kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak

“Anwar telah mengkaji perkara ini melalui bukunya, The Asian Renaissance,” katanya merujuk buku yang diterbitkan pada tahun 1996.

Chin turut menambah tiada usaha yang bersungguh-sungguh diambil oleh kepimpinan terdahulu berhubung identiti Malaysia.

“Paling awal, kita boleh lihat perkara ini dalam Rukunegara. (Mantan perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad pernah mengusulkan idea Bangsa Malaysia tetapi ia tidak diikuti dengan dasar dan tindakan sewajarnya,” katanya.

Untuk mengatasi masalah identiti, beliau mencadangkan agar pentadbiran Anwar mengadakan sesi kongres rakyat agar kepimpinannya mendapat pandangan segenap lapisan masyarakat dan bukannya kumpulan tertentu seperti ‘Gelembung Bangsar’ (Bangsar bubble).

Beliau menambah cabaran seterusnya untuk pentadbiran Anwar dalam tahun 2023 ialah Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Selain daripada krisis ekonomi yang akan melanda negara, Anwar perlu memastikan bahawa pakatan politiknya menang empat daripada enam negeri,” kata beliau.

“Kita dalam peringkat pembangunan di mana kita boleh mengadakan dialog. Benarkan semua bersuara demi identiti Malaysia,” kata James Chin.

Penganalisis politik itu turut menambah bahawa cabaran ini bukan unik kepada Malaysia dan telah pun diatasi oleh negara lain yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama seperti Singapura sejurus selepas ia mencapai kemerdekaannya.

“Identiti rakyat Singapura lebih kukuh. Masalah asas mereka sama dengan Malaysia walaupun saya akui masyarakat majoriti di sana dari kaum Cina,” katanya lagi.

Sesi tersebut turut disertai oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan pensyarah sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri.

Baca juga Kebebasan bersuara tak sama dengan kebebasan memfitnah – Khalid