Dua keluarga mangsa tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor menerima sumbangan RM80,000 daripada Perdana Menteri (PM) Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumbangan berkenaan disampaikan Setiausaha Politik Kanan PM Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin kepada Lai Hua Kiong, 54, dan Tai Seng Fui, 63, di Kampung Machap Baru di Melaka, semalam.
PM juga, kata Shamsul turut menyampaikan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih yang mendalam kepada seluruh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus lumus memberi komitmen yang tinggi dari hari pertama bencana sehingga mangsa terakhir berjaya ditemui kelmarin.
“Tentunya Perdana Menteri dan kerajaan memandang tinggi usaha-usaha mereka dan kita harap ia dapat jadi contoh kepada agensi-agensi lain agar dapat bekerja dalam satu pasukan dan bersungguh-sungguh untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Turut hadir semalam ialah Exco Perrpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah, Datuk Ginie Lim Siew Lin.
Hua Kiong kehilangan empat ahli keluarganya iaitu Lai Chee Sam dan Lai See Tin masing-masing berusia 33 tahun, Giselle Lai Yu Xi (6), dan Jonas Lai Ze Kai (2), manakala Seng Fui juga kehilangan empat ahli keluarga iaitu Tai Chang Lin (35), Yu Siew Pay (34), Tai Jing Key (7), dan Tai Jing Rou, 4 tahun.
Misi SAR akhirnya selesai pada 24 Disember lalu selepas sembilan hari pencarian dengan menyaksikan 31 mayat mangsa dijumpai di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor.
Baca juga Penduduk resah tanah runtuh kecil di Taman Cengal Indah boleh mudaratkan orang ramai