Dr Azman Ismail membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin yang disifatkan tidak menghormati keputusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) selepas dilihat bertindak mempertikaikan tindakan terhadap pendakwah dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang berlainan fahaman politik.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu berkata, Mahiaddin tidak perlu untuk membela tindakan salah yang mereka lakukan sehingga tidak memungkinkan untuk dilantik sebagai calon jawatankuasa kariah masjid penggal 2023 hingga 2025 di Pulau Pinang.
Menurutnya, berlaku pelanggaran etika pentadbiran dengan melakukan perkara berbentuk politik parti seperti membenarkan program kutipan dana pilihan raya, pelancaran jentera pilihan raya parti dalam dewan masjid dan membiarkan masjid menjadi pentas politik kebencian.
Sebaliknya kata beliau, kesalahan-kesalahan yang dilakukan sememangnya suatu perkara atau perbuatan yang tidak betul untuk dilakukan meskipun di mana-mana masjid kelolaan Majlis Agama Islam di mana-mana negeri sekali pun.
“Ini satu kenyataan melulu Mahiaddin tidak berdasarkan fakta sebenar, kalau tindakan salah kena diambil tindakan termasuk kepada mana-mana parti politik sekalipun.
“Tidak seharusnya mempolitikkan masjid dengan menggunakan masjid atas dasar politik. Perkara ini tidak boleh berlaku kerana akan memecah-belahkan masyarakat,” katanya kepada Malaysia Dateline.
Tegasnya, rakyat tertunggu-tunggu juga sebarang pandangan dan kritikan lain daripada calon Perdana Menteri PN itu tentang isu-isu besar negara dan bukannya mempolitikkan sebarang isu.
“Apa penyelesaian Mahiaddin misalnya tentang isu kenaikan kos sara hidup rakyat yang tinggi?
“Takkan calon Perdana Menteri PN tidak ada apa-apa idea?” bidasnya lagi.