Malaysia gagal mara final Piala AFF, ini komen Pan Gon

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal membawa Harimau Malaya ke final Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Hajat Malaysia tersekat selepas dijinakkan Thailand 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat di sini, malam ini.

Jurulatih dari Korea Selatan itu memohon maaf kerana tidak dapat memberikan kegembiraan kepada peminat bola sepak negara dan meminta semua pihak tidak menyalahkan pemain atas kekalahan tersebut.

Katanya, jika ada masalah yang membawa kepada kekalahan pasukan negara, ia perlu ditujukan kepadanya sebagai individu yang bertanggungjawab sepenuhnya..

“Saya tiada rungutan dan kekesalan, apa yang pemain saya lakukan malam ini – mereka berlari bermati-matian, mereka mengikut arahan saya, mereka berjuang sehingga tamat.

“Semua yang berkaitan adalah keputusan saya (kerana) semua taktikal, barisan pemain dan strategi adalah penentuan saya, bukan pemain. Anda boleh salahkan saya dan anda boleh menyerang saya (tetapi) bukan pemain, ,” katanya pada sidang media pasca perlawanan.

Kemenangan tersebut membolehkan Thailand mara ke final dengan agregat 3-1 dan akan bertemu Vietnam di Hanoi, Jumaat ini dan final kedua di gelanggang sendiri, Isnin depan.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking merumuskan dua perlawanan separuh akhir yang dilalui Gajah Perang untuk mara ke final sebagai menakjubkan.

“Dua perlawanan separuh akhir yang hebat tetapi saya percaya perlawanan di Malaysia adalah lebih baik untuk kami berbanding hari ini. Secara keseluruhan, dua perlawanan ini lebih baik daripada peringkat kumpulan.

“Kami mendapat gol yang kami perlukan tetapi ia adalah perlawanan yang sukar terutama pada separuh masa pertama. Tetapi mereka tidak dapat mencipta peluang kerana kami bertahan dengan baik.

“Kami tahu kami tidak boleh membiarkan skuad lawan menjaringkan gol di sini,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu.

Kemenangan malam ini menamatkan rekod tanpa kemenangan Thailand menentang Malaysia selepas enam perlawanan sejak 2018.

Thailand merupakan pasukan paling berjaya dalam kempen Piala AFF sejak acara sulung pada 1996 selepas muncul juara enam kali  dalam sembilan edisi akhir sebelum ini.

—  BERNAMA

Baca juga : Vietnam mara ke final Piala AFF, tewaskan Indonesia 2-0