Malaysia Dateline

Vietnam mara ke final Piala AFF, tewaskan Indonesia 2-0

Seperti dijangka, Vietnam melangkah ke final Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 selepas menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi malam ini.

Penyerang Nguyen Tien Linh muncul wira skuad Golden Star Warriors selepas meledak kedua-dua gol untuk membantu pasukan mencipta kejayaan di laman sendiri.

Selepas gagal beraksi pada tahap terbaik ketika seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Jakarta Jumaat lepas, Vietnam memulakan permainan malam ini dengan bergaya apabila mendahului seawal minit ketiga selepas Tien Linh menyudahkan umpanan Do Hung Dung.

Anak buah Park Hang Seo kemudian terlepas peluang menggandakan kedudukan menerusi sepakan percuma Doan Van Hau yang sedikit tersasar pada minit ke-30 sebelum penjaga gol Indonesia Nadeo Argawinata cemerlang menyelamatkan percubaan Pham Tuan Hai seminit kemudian.

Selepas kedudukan 1-0 memihak pasukan tuan rumah pada separuh masa, hasrat skuad Garuda untuk bangkit pada separuh masa kedua tersentak selepas Tien Linh sekali lagi membolosi gawang Indonesia menerusi tandukan berpunca sepakan penjuru pada minit ke-47.

Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan Vietnam terus berpeluang meraih gelaran ketiga selepas muncul juara pada 2008 dan 2018.

Sementara itu, kekalahan yang diraih skuad bimbingan Shin Tae Yong menyaksikan Indonesia terpaksa menunggu lebih lama untuk merangkul kejuaraan pertama mereka pada kejohanan dwitahunan itu selepas enam kali bergelar naib juara.

Menanti Vietnam di pentas final ialah antara Malaysia dan Thailand yang akan berentap pada satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani, malam esok.

Malaysia yang merupakan juara 2010 menundukkan Thailand 1-0 pada pertembungan separuh akhir pertama dengan pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Abdul Halim muncul wira skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Sabtu lepas.

— BERNAMA

Baca juga : Piala AFF: 25 skrin besar siar aksi Malaysia-Thailand di seluruh negara esok