Tahap kotoran Sungai Klang berjaya diturunkan, Interceptor 005 tajaan Coldplay bantu bersihkan sungai

Oleh KIM SYAZIE

Sebut sahaja sungai tercemar di Malaysia, pasti nama Sungai Klang yang pertama muncul di minda rakyat Malaysia.

Sungai yang mengalir dari Permatang Kuartza Genting Klang, Gombak ke Selangor ini termasuk di dalam senarai 50 batang sungai paling tercemar di seluruh dunia.

Seorang pengguna Twitter, @khalidkarim berkongsi satu video menunjukkan sebilangan orang mengikuti lawatan berpandu di Sungai Klang, semalam.

Dalam lawatan tersebut, peserta di bawa menelusuri sungai yang padat dengan sampah sarap dan bahan buangan menuju ke jentera pembersihan sungai, Interceptor.

Jentera ini merupakan inisiatif dari syarikat asal Netherlands, The Ocean Cleanup yang beroperasi untuk membersihkan sampah di sekitar sungai tanpa penglibatan tenaga kerja manusia.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila sungai ini dipilih oleh pengasasnya, Boyan Slat untuk menjadi lokasi penempatan dua jentera ini.

Menurut jurupandu itu, dengan kehadiran Interceptor 005, sungai yang berada di tahap kekotoran tertinggi iaitu lima, turun ke tahap ketiga.

Bayangkan begitu tercemarnya sungai ini apabila jentera itu terpaksa dihentikan setiap lima minit beroperasi kerana sampah sarah sering terperangkap di kipas yang berfungsi untuk menggerakkan Interceptor.

“Sungai Klang bermula dengan kualiti air kelas lima iaitu yang paling kotor dan tercemar. Tetapi selepas kehadiran Interceptor dan usaha lain, ianya turun ke kelas ketiga.

“Sewaktu berada di kelas lima, semasa turun ke sungai, setiap lima minit jentera perlu berhenti untuk membuang sampah yang tersangkut kipas jentera,” katanya.

Interceptor ciptaan pemuda yang berusia 28 tahun itu mula diletakkan di sungai Klang pada 19 Ogos empat tahun lalu sebelum satu lagi jentera sumbangan Coldplay tiba di Malaysia pada 2021.

Baca juga: Akaun Dr Rafidah digodam lagi, netizen syak mungkin sebab suka tekan link ‘scam’