Malaysia Dateline

Ada komunis, antituhan: PH minta polis siasat tohmahan, penipuan Presiden Pas

Polis diminta menyiasat tohmahan dan penipuan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang antara lain mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta antituhan.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, berkata Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu mengeluarkan kenyataan tersebut dalam program di Temerloh, Pahang, kelmarin.

Lip Eng memetik laporan Malaysiakini berkata, Presiden Pas dilaporkan mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan yang mempunyai pelbagai masalah, termasuk rasuah yang tidak terkawal, dan hanya Perikatan Nasional (PN) yang boleh mentadbir Malaysia dengan baik.

“(Beliau berkata) Parti dalam PH ini macam-macam jenis ada. Yang komunis ada. Yang antituhan pun ada. Yang liberal pun ada. LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) pun ada. Yang bagi rasuah pun ada. Yang terima rasuah pun ada.

“(Katanya) Semua ada dalam parti mereka. Ini menjadi satu masalah. PH ini ‘gelap’. BN ‘keruh dan kelabu’. Jadi kita ambillah yang jernih. Yang baik iaitu PN,” katanya.

Tegasnya, polis wajar menyiasat Hadi yang mengeluarkan kenyataan bersifat tuduhan tanpa bukti serta boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Dia (Abdul Hadi) sekali lagi menuduh PH sebagai komunis. Sejak Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, ini adalah kali keempat Presiden Pas itu menuduh PH sebagai komunis. Selain itu dia juga menuduh PH sebagai antiraja.

“Kali ini, dia (Abdul Hadi) menambah PH sebagai antituhan. Ini semua tuduhan yang amat serius.

“Minggu lepas saya ada cabar beliau untuk membuat laporan polis sekiranya segala tuduhannya itu adalah benar, tetapi Abdul Hadi tidak berani buat laporan polis,” katanya lagi.

Baca juga Kehadiran di Parlimen: Anthony Loke, Syed Saddiq dan Mat Sabu cemerlang tapi Hadi dan Muhyiddin paling corot

Baca juga Ngeri! Remaja hilang sebelah paru-paru selepas tercampak daripada permainan ‘wave swinger’