“Tanpa MoU ini, hampir pasti tiada harapan RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan apa tah lagi untuk dilulus dan dilaksanakan. Kalau dengan adanya MoU sekalipun ianya tetap dilengah-lengahkan“.
Laporan media yang memberikan gambaran bahawa RUU Anti-Lompat Parti tidak akan dibentangkan pada Isnin ini telah menghasilkan berbagai komen dan teguran dari bukan sahaja netizen tetapi juga golongan penganalisa politik.
Ada sebahagian terus membuat kesimpulan bahawa ianya adalah bukti bahawa PH telah membuat satu kesilapan besar menandatangani MoU bersama kerajaan Ismail Sabri.
Ini adalah kerana justifikasi utama menandatangani MoU berkenaan adalah supaya RUU tersebut diluluskan pada sidang ini juga. Kekecewaan terhadap berita tersebut, sekiranya benar, adalah sangat difahami.
RUU Anti-Lompat Parti adalah RUU yang ditunggu-tunggu oleh ramai, supaya dengan itu akan dapat dikembalikan keyakinan terhadap proses Demokrasi yang diamalkan negara kita.
Tidak boleh dinafikan bahawa Langkah Sheraton merupakan tindakan durjana yang bukan sekadar menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat secara tidak berakhlak, ianya telah menggugat keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi negara ini.
“Apa guna kami mengundi seseorang, sekiranya selepas dia menang atas undi kami, tiada halangan untuk dia menjual kerusi dan dirinya atas kepentingan diri melalui amalan lompat parti?” tanya ramai.
Ini sekaligus, kalau tidak ditangani, mampu menyebabkan ramai tidak keluar mengundi pada PRU ke 15 sepertimana dilihat kepada jumlah keluar mengundi di PRN-PRN Melaka, Sarawak dan juga Johor.
Tidak boleh dinafikan persoalan ini adalah antara penyebab jumlah keluar mengundi yang sangat rendah.
AMANAH komited kembalikan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi
Parti Amanah Negara (AMANAH), bersama gabungan PH yang disertainya, sangat komitted kepada persoalan usaha mengembalikan keyakinan pengundi kepada sistem demokrasi negara.
Maka itulah sebabnya AMANAH bersetuju untuk menandatangani MoU bersama kerajaan Ismail Sabri apabila digesa ke arah kestabilan politik oleh DYMM SPDB Yang DiPertuan Agong.
Mengambil kesempatan dari desakan mengasaskan kembali kestabilan politik, demi pemulihan negara, MoU ditandatangani. Sambil itu disertakan di dalamnya berbagai persoalan yang dianggap penting bagi AMANAH dan rakan-rakannya dalam PH.
Yang terutama di antaranya adalah RUU Anti Lompat Parti yang disebut secara tegas akan dibentang dan diluluskan pada sidang pertama Parlimen tahun 2022.
Menandatangani MoU itu sendiri merupakan sesuatu yang sangat kontroversial bagi sebahagian ahli dan penyokong AMANAH dan parti-parti rakan gabungan PH.
Ini adalah kerana tiada precedent, atau amalan yang sepertinya dalam sejarah politik negara.
Ada yang tersilap anggap ianya sebagai tanda sokongan PH terhadap Ismail Sabri dan kerajaan Ismail Sabri tidak jatuh oleh kerana adanya MoU tersebut. Ini adalah jauh tersasar dari kenyataan sebenar.
MoU berkenaan tidak menyebabkan kerajaan tidak jatuh. Ini adalah kerana terdirinya kerajaan adalah atas sokongan 115 Ahli Parlimen dari BN dan PN serta GPS. Tiada walaupun seorang Ahli Parlimen PH yang termasuk dalam 115 Ahli Parlimen berkenaan.
MoU ditandatangani PH jelas menyatakan bahawa PH tetap kekal sebagai pembangkang dan berhak mengkritik dan menegur kerajaan sekiranya berlaku urus tadbir songsang.
Ini terbukti melalui beberapa peristiwa yang terakhir apabila usul berhubung perlanjutan SOSMA ditolak PH dalam Parlimen.
Secara umum, PH tidak terikat sehingga perlu menyokong yang bercanggah dengan prinsip dan dasar perjuangannya.
Sebaliknya kerajaan terikat untuk menyokong dan melaksana apa yang diperjuangkan PH yang disebut secara khusus di dalam MoU berkenaan.
Oleh itu dakwaan MoU menyebabkan PH kendur adalah tidak benar sama sekali.
Ada yang bantah MoU tapi tak pula bagi usul bagaimana RUU Anti Lompat Parti dapat diluluskan
Maka kembali kita kepada persoalan RUU Anti-Lompat Parti yang dibicarakan. Ramai bersetuju RUU ini perlu dibentang dan diluluskan serta dikuatkuasakan.
Namun ada sebahagian dari yang bersetuju itu menentang pula PH menandatangani MoU tersebut sejak awal. Malangnya mereka tidak pula mengemukakan cadangan bagaimana RUU itu boleh diluluskan tanpa ditandatangani MoU berkenaan.
Sekiranya kerajaan Ismail Sabri tidak inginkan RUU Anti-Lompat parti ini dilaksanakan, maka adakah tanpa menandatangani MoU maka ianya akan dibentang, dilulus dan dilaksana?
Dan tanpa adanya MoU ini, sekiranya ianya tidak dibentangkan seperti mana dipersetujui, bolehkah dipamerkan sikap kerajaan yang tidak ikhlas dalam menangani masalah yang dihadapi untuk menyelamatkan amalan demokrasi di negara ini?
Tanpa MoU ini, hampir pasti tiada harapan RUU Anti-Lompat Parti akan dibentangkan apa tah lagi untuk dilulus dan dilaksanakan. Kalau dengan adanya MoU sekalipun ianya tetap dilengah-lengahkan.
Dan sekiranya ianya tidak dibentangkan dan kerajaan dikritik dan ditegur kerana tidak membentangnya, sudah pasti mereka akan menjawab, “tidak pernah kami bersetuju untuk membentangkannya”.
Maka pada ketika itu segala pengkritik dan penganalis akan hanya mampu berkata, “ehhh.. iya ke? Kenapa tidak dibuatnya MoU untuk mengikat kerajaan?”
Amat jelas, harapan terbaik supaya RUU Anti-Lompat Parti dibentangkan adalah dengan adanya MoU sebegini.
AMANAH, bersama rakan-rakannya dalam PH sangat komitted untuk meluluskan RUU berkenaan sehingga sanggup menandatangani MoU bersama kerajaan Ismail Sabri ke arah tercapainya matlamat ini walaupun mengundang kritikan dari pihak-pihak yang tidak memahami kewajaran tindakan ini.
Dalam keadaan penuh kekeliruan, ada yang bertepuk tangan mengatakan “bodoh kerana ditipu BN sekali lagi”.
Sedangkan kegagalan MoU ini, sekiranya benar akan berlaku hanya bererti harapan mereka juga akan turut berkecai! Maka amat hairan sekali melihat telatah sebahagian mereka, berseronok bila kita gagal mencapai matlamat yang diinginkan bersama?
Untuk maklumat semua, usaha menghasilkan RUU ini bukan diserahkan kepada pihak kerajaan sahaja.
Ahli Parlimen AMANAH, PKR dan DAP juga turut menyertai JK Teknikal yang merangka RUU ini. Mereka telah bersidang beberapa kali dan berusaha secara bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sebuah RUU yang boleh dipersetujui bersama.
Tiada yang boleh menuduh AMANAH dan PH sebagai sekadar retorik dalam soal RUU Anti-Lompat Parti ini kerana kami telah melakukan semaksima mungkin untuk menghasilkan, membentang dan meluluskannya.
Kerana ianya bukan propaganda politik atau isu politik populis tetapi sesuatu yang teramat penting kalau kita ingin selamatkan amalan demokrasi di negara kita.
Golongan katak dan pengkhianat yang merupakan tukang lompat parti perlu dibanteras.
Oleh itu marilah kita bersama-sama mendoakan bahawa pada Isnin 11hb ini kita akan dapat melihat kemajuan ke arah pembentangan dan kelulusan RUU Anti-Lompat Parti ini dan kerajaan Ismail Sabri tidak akan khianati janjinya di dalam MoU berkenaan.
Tiada yang untung sekiranya ianya tidak dijadikan undang-undang demi mencegah amalan lompat parti ini melainkan golongan yang sememangnya seronok mengkhianati mandat rakyat.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio