Malaysia Dateline

Ada MP Umno mahu jatuhkan PM, soal Hannah

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bertanyakan sama ada ahli Dewan Rakyat dari Umno mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Reaksi pimpinan DAP itu susulan sidang media oleh Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri untuk terus mentadbir negara sehingga penggal Parlimen berakhir pada 2023.

“Ada usaha Ahli Parlimen Umno nak jatuhkan PM sendiri ke? Berapa kali nak gagalkan kerajaan PN/BN sendiri?” soal bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menerusi Twitter.

Dalam sidang media BBC pada 14 Disember lalu, Ahli Parlimen Umno juga menyatakan tiada keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Sementara itu, penganalisis politik, Shahbudin Husin berpendapat sokongan secara tiba-tiba kepada Ismail Sabri sama seperti yang berlaku pada Mahiaddin Md Yasin sebelum ini yang mendapat sokongan bertalu-talu untuk dikekalkan khidmatnya sehingga PRU-15.

“Tetapi, apa jadi akhirnya kepada beliau? Apakah sekarang Ismail Sabri sedang menempah laluan yang sama?

“Yang nyata, sokongan terbuka BBC untuk Ismail Sabri diteruskan khidmatnya sehingga tahun 2023 adalah jelas merupakan tindakan ‘sengaja cari pasal’ terhadap kepimpinan Umno sendiri,” katanya.

Beliau berkata, secara tersiratnya tujuan memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehingga tahun 2023 adalah semata-mata agar pemilihan Umno diadakan terlebih dahulu sebelum PRU-15 dilangsungkan.

“Melalui itu, dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri akan ditonjolkan untuk merebut jawatan Presiden Umno yang kini disandang oleh Ahmad Zahid Hamidi.

“Perkara itu tentu sekali bertentangan dengan pendirian MT Umno baru-baru ini, sebagaimana disebut oleh Ketua Pemuda, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa ketetapan telah dipersetujui untuk Parlimen dibubarkan selepas Julai 2022 dan sebelum pemilihan Umno diadakan.

“Makna kata, matlamat melanjutkan tempoh Perdana Menteri sehingga 2023 itu bukan untuk kepentingan rakyat, bukan untuk memulihkan ekonomi dan bukan juga untuk menangani Covid19, tetapi semata-mata kerana kepentingan kuasa,” kata Shahbudin lagi.