Malaysia Dateline

‘Adakah elaun YB Pekan sebagai wakil rakyat masih dibayar kerajaan?’ soal Rayer

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membangkitkan persoalan di Dewan Rakyat hari ini berkenaan elaun Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai wakil rakyat.

Beliau tertanya, adakah Najib masih lagi dibayar oleh kerajaan atas statusnya sebagai Ahli Parlimen walaupun beliau kini sedang menjalani hukuman di penjara.

“Tan Sri Speaker telah membuat pengumuman bahawa YB Pekan akan dibenarkan hadir sidang Dewan. Ketika itu beberapa pengumuman dibuat, tapi tiada sebarang pengumuman berkenaan sama ada beliau masih menerima elaun sebagai wakil rakyat.

“Persoalan saya adakah elaun beliau sebagai wakil rakyat masih sedang dibayar oleh kerajaan?,” soalnya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut membangkitkan tentang dakwaan yang tular mengatakan ini adalah rancangan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan taraf Najib sebagai wakil rakyat supaya apabila parti itu memenangi pilihan raya, mereka boleh membebaskan Najib dan dibenarkan kembali datang ke Dewan.

“Saya tanya perkara ini di Dewan Rakyat kerana ada berita tengah tular bahawa ini perancangan kerajaan sekarang untuk mengekalkan taraf beliau sebagai seorang Ahli Parlimen dengan harapan kalau BN memenangi pilihan raya nanti, beliau akan mendapat pengampunan dan dibenarkan kembali di Dewan rakyat. Boleh disahkan?,” soalnya lagi.

Bagaimanapun Tmbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menjelaskan beliau tidak boleh mengesahkan perkara itu kerana tiada dalam pengetahuannya.

Justeru, beliau meminta Rayer menulis kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan memberi jawapan sewajarnya.

“Saya tidak bolah sahkan apa-apa kerana tiada dalam pengetahuan saya,” katanya. 

Baca juga: Setapak, KL jadi ‘lokasi panas’ lubuk doktor gigi palsu

Baca juga: PRU15 awal Februari dah cukup cantik – Boleh banding parti mana lebih banyak bantu mangsa banjir