Malaysia Dateline

PRU15 awal Februari dah cukup cantik – Boleh banding parti mana lebih banyak bantu mangsa banjir

Melihatkan galaknya Umno mahu Parlimen segera dibubarkan, banyak pihak menganggap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung ketika musim banjir tahun ini.

Semua ramalan cuaca yang memberi amaran mengenai bencana banjir yang akan tiba serta kepayahan rakyat semasa musim bah nampaknya tidak dihiraukan demi kuasa.

Ikuti pandangan pemerhati geografi, MATGEO yang berpendapat PRU15 pada awal Februari tahun depan sudah cukup ‘cantik’:

Kepada yang bertanyakan tentang prospek cuaca hujung tahun yang sudah menjadi mainan politik, saya ringkaskan berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas.

Komputer cuaca hanya mengunjurkan hingga 7 hari ke depan. Yang mana pengamat cuaca lebih maju, mereka menganalisis data itu bagi dibuat unjuran 10 hari.

Jika kedatangan hujan luar biasa Disember tahun lalu, kita dapat lihat petanda kepada kesinambungan La Nina tahun ini, tiada siapa tahu adakah La Nina berterusan di tahun depan. Jika tahun depan beralih kepada corak El Nino, keadaan mungkin lebih baik atau mungkin sahaja lebih buruk.

Bukan saban tahun pantai timur Semenanjung wajib tengkujuh hujung tahun. Terdapat berapa kali hujung tahun yang langsung tidak banjir.

La Nina dilihat sudah terlajak musimnya. Jika ia berakhir Januari, menjadi neutral dan beralih ke El Nino terlajak musim pula, seperti 1990 – 1995, cuba lihat tahun 1989. Pada tahun itu hujan di Kota Bharu mencatat 1,550 mm sahaja bagi tahun 1989 (gambar atas).

Bandingkan dengan 5,200 mm hujan untuk Shah Alam bagi tahun 2021 sahaja.

Atmospheric River yang disebut-sebut masih dalam teka-teki hasil akhirnya.

Kesimpulannya, kita dalam fasa menduga-duga pengakhiran La Nina. Jika perubahan monsun boleh mendatangkan cuaca bukan-bukan, saya yakin, peralihan La Nina kepada Neutral juga mungkin sedemikian. Cuma bukan-bukannya sama ada terlalu basah atau terlalu kering, saya tak berani sebutkan.

Secara peribadi, saya menjangkakan hujan yang lebat lebih dari biasa pada Oktober, November dan Disember. Namun, kering dari biasa pada bulan Januari dan Februari.

Untuk membuat PRU pada awal Februari sudah cukup cantik kerana boleh dilihat pihak mana yang lebih banyak membantu mangsa banjir sekiranya tengkujuh berlaku.

Ini Bajet 2023 pun belum, sibuk nak PRU. Lima tahun dari PRU14 ialah 9 Mei 2023. Pada penggal mandat terpanjang mungkin dari 8 Mac 2008 hingga 12 Mei 2013. Boleh pula?

Tengah banyak duit tak semestinya boleh menang PRU. Pengalaman 2018 tak mengajarkah?

Baca juga Bajet 2023: Ini senarai 15 masalah struktur yang dibimbangi pakar – Jangan dibiar nanti makin susah ditangani

Baca juga Suami ambil pinjaman sebab isteri nak bersalin di hospital swasta, isteri senyap-senyap fail tuntutan cerai