Malaysia Dateline

Agong minta parti kemuka gabungan bentuk kerajaan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah meminta ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik kemukakan mengenai gabungan mereka yang telah dipersetujui bagi membentuk kerajaan.

Ketua parti hendaklah mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana
Negara sebelum jam 2.00 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.

Berikut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin;

Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),
yang telah berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada jam 1.15 tengah hari, hari ini.

Dokumen yang telah dikemukakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia YBhg. Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan dengan itu, menjunjung titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Istana
Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat YBhg. Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti politik/gabungan partiparti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh YBhg. Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana
Negara sebelum jam 2.00 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.

Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad.

Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Baca juga: Demi pulihkan parti Zahid perlu letak jawatan Presiden Umno dengan segera

Baca juga: Sudah meninggal 6 bulan, wanita sebak baca nota arwah ibu