Malaysia Dateline

Ahli akademik harap Anwar pegang portfolio pendidikan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap memegang portfolio pendidikan kerana dilihat sebagai figura paling layak untuk mengemudi bidang tersebut.

Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Asri Mohd Ali berpendapat Anwar perlu berbuat demikian bagi memastikan berlakunya perubahan struktur yang lebih baik.

Menurutnya, hala tuju dalam pendidikan menyumbang peranan signifikan bagi memacu perubahan besar dalam sistem ekonomi rakyat dan negara ini.

“Perdana Menteri harus pergi kepada sistem pendidikan. Kita bercakap tentang peradaban sebagai masyarakat yang kukuh dan kuat.

“PM jangan memegang portfolio cara lama. Kalau beliau dapat mengangkat sistem pendidikan, rakyat Malaysia akan dapat melihat perubahan besar dalam ekonomi nanti,” katanya dalam dialog di Awani pagi tadi.

Dalam masa sama, Dr Asri berpendapat perlunya peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dimanfaatkan seperti praktik di Jepun memandangkan dunia kini bergerak ke arah kejuruteraan.

“Kalau kita berjaya hasilkan GLC yang super strong, gabungkan dengan sistem pendidikan, ini akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih baik,” ujarnya lagi.

Baca juga Anwar Ibrahim PM10: Malaysia bersedia untuk reformasi di bawah PH

Baca juga Penghuni terkejut nampak ‘Pak Belang’ berehat santai bawah rumah