Malaysia Dateline

Anwar Ibrahim PM10: Malaysia bersedia untuk reformasi di bawah PH

Alhamdulillah, perjuangan lebih 20 tahun rakyat Malaysia untuk melihat perubahan besar tadbir urus negara tercinta demi menjamin kesejahteraan 32 juta rakyat Malaysia pelbagai kaum dimakbulkan Allah SWT pada hari ini.

Junjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong telah memberikan perkenan di bawah Perkara 40 (2) (a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM10.

Hiba bercampur gembira saya mendapat berita ini kerana saya sedar perjuangan ini telah dimulakan bersama oleh Allahyarham Ustaz Fadzil Noor yang membela Anwar Ibrahim pada tahun 1998 dan menggerakkan perjuangan rakyat melalui GERAK yang meledakkan satu perjuangan rakyat yang tidak terhenti sehingga kini.

Bonda saya, Almarhumah Khatijah Ibrahim yang rapat dengan Anwar Ibrahim ketika hayatnya tidak pernah berhenti mendoakan Anwar Ibrahim diangkat sebagai PM.

Kami sekeluarga cukup terharu dengan kunjungan Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Wan Azizah di saat bonda saya di hujung nyawanya.

Bukan sahaja atas hubungan keluarga ini, tetapi atas keyakinan saya akan ketulusan perjuangan Anwar Ibrahim mahu membawa reformasi dalam negara yang tercinta ini, saya meneruskan perjuangan ayahanda yang belum selesai.

Saya memilih meninggalkan Pas dan memilih AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) kerana yakin dengan kepimpinan Anwar Ibrahim setelah kepimpinan Pas sejak 2015 menolak Anwar Ibrahim.

Ikrar ayahanda saya bahawa Anwar Ibrahim adalah PM pilihannya, begitulah ikrar saya selama ini dan saya tegaskan sekali lagi di dalam kempen PRU-15 baru-baru ini.

Undi 22,027 pengundi Tampin dan 5,823,931 juta undi atau 37.97% seluruh negara untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai PM10 membuahkan hasil pada hari ini.

Pelantikan Anwar Ibrahim pada hari ini sebagai PM10 adalah perjuangan suci dan jujur PH. Perjuangan berasaskan reformasi, politik nilai dan integriti telah diterima rakyat terbanyak.

Perjuangan untuk membela sosioekonomi rakyat merentasi kaum dan agama akan diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Negara ini perlu dipulihkan terutama dari sudut ekonomi dan tadbir urus dan PH akan menggalas amanah ini dengan sebaik mungkin.

Saya akan sentiasa menyokong pasukan kepimpinan Anwar Ibrahim untuk melihat Malaysia baharu yang lebih baik demi kemakmuran bersama.

Maka, betullah janji Allah bahawa apa jua perancangan mereka, perancangan Allah lebih baik. Pengkhianatan untuk menghalang Anwar Ibrahim menjadi PM dan negara ini ditadbir PH telah terkubur.

Api perkauman yang ditiupkan untuk menanam politik kebencian telah dipadamkan. Episod hitam 22 bulan pemerintahan PH perlu dipastikan dibaiki dan tidak berulang lagi apa-apa langkah meruntuhkan kerajaan perpaduan ini.

Semoga Allah memberikan hidayah kepada Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan negara untuk mentadbir negara Malaysia dengan bersih, adil dan stabil.

Rakyat perlu diutamakan dan kemajuan negara perlu ditumpukan.

Baca juga Anwar umum cuti peristiwa 28 November ini

Baca juga Terbang tanpa henti sejauh 13,560 km, burung ini pecah rekod dunia