Semalam tular di media sosial satu kejadian ‘air terjun’ dekat sebuah pangsapuri Taman Mas, Sepang akibat tangki air setinggi 18.3 meter (60 kaki) pecah.
Menerusi video berdurasi hampir empat minit yang dikongsi di Facebook, menunjukkan beberapa kenderaan yang diletakkan di perkarangan bangunan terkena curahan air deras dari tangki pecah itu.
Dilaporkan enam kenderaan rosak teruk dengan gambar-gambar tersebar memaparkan beberapa kereta mengalami kerosakan di bahagian bumbung, dan pecah cermin kereta di bahagian hadapan.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof, enam kenderaan didapati rosak teruk kerana ditimpa serpihan tangki air yang jatuh di blok pangsapuri terbabit.
Kejadian itu bagaimanapun, tidak melibatkan kemalangan jiwa, sebaliknya hanya kerosakan harta benda dan mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi tuntutan insurans, katanya.
“Serpihan tangki air tersebut jatuh dan menimpa beberapa buah kereta. Jumlah kereta yang rosak adalah sebanyak enam buah dan mengalami kerosakan teruk.
“Kami dimaklumkan bantuan lori air bersih dari syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah dihantar untuk keperluan penghuni 172 unit pangsapuri yang terjejas,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Baca juga: Monyet ini berkali-kali kejut mayat tuannya buat netizen sebak