Malaysia Dateline

Akta Anti Lompat Parti: Tidak perlu mansuh Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan

Merujuk kepada cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) berkaitan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan, cadangan ini tidak relevan dan tidak perlu.

Ironinya, Perkara 48(6) adalah berkaitan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen, sedangkan tindakan lompat parti tidak menjurus kepada peletakan jawatan.

Di bawah peruntukan sekarang, Ahli Parlimen yang meletak jawatan tidak akan dibenarkan bertanding semula di peringkat Parlimen untuk tempoh lima tahun.

Seharusnya, satu peruntukan khusus kepada sub-Perkara 48 berkaitan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen akibat lompat parti dan hukuman atau kesan kepada kerusi yang disandang (recall election) digubal.

Terdapat 39 ahli Parlimen telah melompat parti sejak berakhirnya PRU14 sehingga menyaksikan penyandang Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali.

Manakala Akta Anti Lompat Parti pula digubal bagi memberikan tafsiran dan prosedur bagaimana tindakan diambil kesan daripada tindakan lompat parti.

Memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan adalah berisiko untuk tindakan lompat parti melalui pintu belakang dengan cara seseorang Ahli Parlimen itu meletak jawatan dan kemudian boleh sahaja bertanding semula atas tiket parti lain tanpa dihalang (banned) untuk tempoh lima tahun.

Senario ini jika berlaku akan mematahkan tujuan Akta Anti Lompat Parti. Lagipun, pemansuhan peruntukan sedia ada ini akan membuatkan rakyat terpaksa berhadapan dengan pilihan raya berulang kali yang pasti membazirkan jutaan ringgit wang rakyat.

Justeru, peruntukan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan sedia ada yang melarang seseorang Ahli Parlimen yang meletak jawatan menjadi Ahli Parlimen untuk tempoh lima tahun harus dikekalkan untuk dijadikan penghalang peletakan jawatan sewenang-wenangnya.

*FAIZ FADZIL merupakan peguam dan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Baca Ahli Parlimen lompat parti pun ada dalam senarai Jawatankuasa Pilihan Khas

Baca Anak hanya puasa separuh hari, Mufti beri penjelasan hukum puasa bagi kanak-kanak