Malaysia Dateline

Aktifkan PPS lebih awal, kurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda – Ahmad Zahid

Info ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan dijadikan panduan untuk mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, info tersebut dapat membantu PPS diaktifkan lebih awal sebelum banjir melanda kawasan terbabit.

“Ini bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau kehilangan dokumen-dokumen penting.

“Jadi, ini adalah langkah baharu dan buat pertama kalinya badan sukarela bersama-sama dengan jawatankuasa ini dan kita mahu di peringkat nasional, negeri, daerah serta PPS usaha-usaha sukarelawan dilibatkan.

“Ia bukan sahaja mengurangkan beban tugas malah dapat melihat keberkesanan menyelesaikan banjir terutama kepada mangsa-mangsa,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di Bangunan Perdana Putra semalam.

Tiga kawasan yang menjadi tumpuan utama ialah Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu); Sabah (Pantai Timur); serta Sarawak (Pantai Barat).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan bahawa agensi pengurusan banjir perlu memberi layanan sama rata kepada Kerajaan Negeri tanpa mengira di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Pada masa sama, beliau memaklumkan Kerajaan Perpaduan memberi jaminan bantuan yang disalurkan kepada mangsa oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan.

“Selain itu, masalah penyelesaian jangka panjang bagi pengurusan banjir terutamanya bagi penyediaan tebatan banjir secara holistik.

“Kita dimaklumkan satu (projek) dan perancangan jangka panjang hingga tahun 2100. Namun apa yang lebih penting ialah penyelesaian dicari sekarang dan bukan menggunakan pendekatan mengikut banjir ramalan MetMalaysia (untuk memindahkan mangsa).

“Begitu juga kawasan muka bumi di bawah aras laut memerlukan penyelesaian jangka panjang kerana masalah banjir termenung berlaku di banyak tempat,” katanya lagi.

Baca juga Sokongan kepada Kerajaan Perpaduan semakin kukuh