Malaysia Dateline

Aktivis dedah ratusan hektar hutan simpan kekal di Kelantan musnah

Seorang aktivis berkongsikan puluhan gambar dan rakaman video hasil tinjauannya di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Durian di Kuala Krai, Kelantan yang musnah ditarah.

Beliau yang di Facebook menggunakan nama gelaran, Pauh Putit mendakwa kawasan HSK itu rakus diteroka untuk tujuan projek ladang hutan.

“Lihat sendiri kerakusan manusia buat ladang (hutan). Bukit sudah tidak ada balak. Licin habis dah. Tarah belaka dah. Habis,” kata seorang individu dalam salah satu rakaman video.

Saujana mata memandang ratusan hektar dengan sejumlah kompartment HSK Sungai Durian musnah.

Turut kelihatan beberapa papan tanda tempat pengumpulan balak atau dipanggil matau.

Antaranya, matau seluas 139 hektar dengan tertera nama kontraktor, Cheong Kok Tong bersama tempoh kuatkuasa lesen.

Selain itu, satu lagi papan tanda memaklumkan kerja-kerja membalak melibatkan kompartment 26, 34, 35 dan 48 seluas 404 hektar atas nama syarikat Innovation Asset Management Sdn Bhd.

Satu rakaman video oleh Pauh Putit juga memperlihatkan papan tanda ringkas terpampang ungkapan “Blok 10 – 100 hektar”.

Rakaman situasi semasa kemusnahan hutan simpan yang bersempadan dengan Terengganu itu turut memaparkan rumah kongsi dan kawasan yang difahamkan telah dijadikan ladang getah.

Pemugaran hutan simpan di Kuala Krai dibimbangi mengulang kemusnahan kawasan tadahan hujan di Gua Musang.
“Anok Klate Saye Hute” tapi hutan yang ada dimusnahkan dalam skala besar.

Dihubungi Malaysia Dateline hari ini, Pauh Putit memberitahu turut ditanam ialah durian musang king dan balak klon.

“Balak klon itu orang panggil pokok kayu putih yang bukan asal dari negara kita. Pokok itu diimport benihnya dari Indonesia. Benih itu pun saya difahamkan diseludup masuk secara haram,” jelasnya.

Melihatkan keluasan hutan simpan kekal yang dimusnahkan, beliau berharap kerajaan negeri Kelantan agar memberhentikan projek ladang hutan.

“Hentikan projek ladang hutan kerana tiada manfaat kepada rakyat,” tegasnya.

Sebelum ini, Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman dilapor menegaskan pembalakan berlesen yang tidak terkawal menjadi punca kemusnahan hutan simpan kekal.

Menurutnya, kaedah pengusahasilan hutan yang tidak mampan tersebut melibatkan pembalakan secara tebang habis berskala besar untuk tujuan ladang monokultur (ladang hutan) dan perlombongan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

“Inilah amalan dan kelulusan pengusahasilan hutan yang diberikan oleh kerajaan Negeri Kelantan sehingga menimbulkan impak dan konflik kepada persekitaran dan ekosistem, masyarakat setempat dan hidupan liar.

“Bayangkan hampir 28 peratus daripada keluasan HSK di Kelantan diluluskan untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan).

“Itu belum diambil kira untuk tujuan kegiatan perlombongan termasuk pengkuarian dalam kawasan HSK,” kata Meor Razak lagi.

Beza terancamnya litupan hijau hutan simpan yang ketara antara Kelantan dan Terengganu.
Kemusnahan ratusan hektar hutan simpan mengakibatkan sungai yang jernih menjadi berkeladak.