Malaysia Dateline

Alihkan undi kepada PH, jangan bazir kos RM1b urus PRU15

Semakin dekat hari mengundi, pelbagai kajian dan petunjuk jelas memaparkan bahawa PH sedang berada di hadapan untuk memenangi PRU15 akan datang.

Kajian terbaru ialah daripada YouGov, sebuah gergasi penyelidikan pasaran yang berpangkalan di United Kingdom yang mendapati PH sedang mendahului dengan meraih sokongan sebanyak 35 peratus.

Pesaing terdekat PH ialah PN dengan sokongan sebanyak 20 peratus dan BN sebanyak 17 peratus.

Pada waktu yang sama, ke mana saja Anwar Ibrahim pergi berkempen bersama jadual padatnya dengan tujuh atau lapan program setiap hari, sambutan yang diterimanya sentiasa saja hangat dan meriah, tak kira dalam cuaca cerah, mendung atau hujan.

Cuma, sama ada PH cukup kerusi untuk membentuk kerajaan secara sendirian atau memerlukan sokongan parti-parti lain masih lagi menjadi persoalan.

Dalam kebanyakan kajian, petunjuk dan ramalan tersebut, PH dirasakan boleh menang sekurang-kurangnya 85 hingga 90 kerusi Parlimen.

Namun demikian, berdasarkan keadaan yang positif itu, Rafizi Ramli menjangkakan kerusi yang boleh dimenangi PH bakal meningkat sehingga 100 atau lebih menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.

Walaupun dengan jumlah kerusi yang dijangkakan menang itu sudah cukup untuk PH diberi mandat memulakan rundingan bagi membentuk kerajaan, ia sebenarnya masih lagi merupakan keadaan yang tidak selesa.

Keadaan selesa yang sebenar hanyalah apabila PH mampu menang sejumlah 112 atau lebih kerusi Parlimen.

Dalam hal ini, oleh kerana masih ada dua hari berbaki lagi sebelum pengundian pada 19 November, adalah penting untuk para pengundi, terutamanya pengundi atas pagar memiliki jiwa besar dan kerasionalan pendirian yang juga besar berkenaan hala tuju undi mereka.

Adalah suatu pembaziran jika mereka memberikan undi kepada BN atau PN kerana kedua-dua parti itu tidak berpotensi untuk menang dan membentuk kerajaan.

Pilihan yang paling berpotensi dan tidak membazir hanyalah dengan memberi atau mengalihkan undi kepada PH supaya gabungan itu dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan memberi manfaat kepada rakyat.

Memberi undi kepada parti yang tidak berpotensi untuk menjadi kerajaan, bukan saja membazirkan undi kerana ia akhirnya hanya akan menyebabkan tiada kerajaan dapat terbentuk dan negara terus berada dalam ketidakstabilan.

Dalam keadaan itu, lebih buruk lagi ia juga menjadikan peruntukan kerajaan kepada SPR berjumlah lebih RM1 bilion untuk mengendalikan PRU15 ini turut jadi suatu pembaziran dan sia-sia.

Jadi, adalah menjadi tanggungjawab rakyat, terutama mereka yang tidak berparti atau pengundi atas pagar untuk bertindak bijak demi memastikan PRU15 ini benar-benar bermanfaat untuk masa depan mereka dan juga negara.

Sesuai dengan matlamat mengadakan PRU ialah untuk mewujudkan sebuah kerajaan, maka pilihan yang paling tepat ialah rakyat harus secara beramai-ramai mengalihkan undi mereka kepada PH, parti yang paling hampir dan berpotensi sekali untuk mencipta kemenangan.

Undi kepada parti lain adalah sia-sia dan membazir saja.

Tambahan lagi, dengan telah ditetapkan cuti selama dua hari iaitu pada Jumaat dan Sabtu, gaji dan pencen pesara kakitangan awam diawalkan kepada 17 November, tol pula percuma, tiada sebab lagi untuk rakyat berdalih atau bersikap malas daripada mengundi.

Jangan juga jadikan ancaman covid19 yang kesnya menampakkkan trend menaik sejak kebelakangan ini serta kemungkinan berlaku banjir di sesetengah tempat sebagai halangan.

Keluarlah beramai-ramai dan pulanglah ke kampung halaman masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab agar kerajaan yang terpilih nanti adalah kerajaan yang stabil dan merupakan hasil undian daripada majoriti rakyat negara ini.

Jangan kerana satu undi yang kita tidak tunaikan, kita menyesal tak sudah untuk lima tahun mendatang.

Kalau boleh untuk PRU15 ini, biar peratusan keluar mengundi mencecah sehingga 85 atau 90 peratus supaya perubahan yang diharapkan itu benar-benar menjadi kenyataan.

Baca juga Marang dan Batu 6 dua kawasan ‘tanah haram’ di Terengganu? Parti lain dilarang pacak bendera