Malaysia Dateline

AMANAH tolak pertemuan dengan Annuar Musa, desak bertindak segera atasi kenaikan harga barang

AMANAH menolak untuk mengadakan sebarang pertemuan empat mata dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang mempelawa pihak pembangkang bertemu dengannya bagi berbincang tentang krisis harga barang ketika ini.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, mereka telah membuat tiga tuntutan agar kerajaan segera mengembalikan semula subsidi barangan asas, menghapuskan AP pada semua barang makanan import, dan menuntut mengadakan sidang khas Parlimen untuk membahaskan isu tersebut.

Menurut Faiz, kerajaan perlu berbincang apa langkah segera untuk tangani krisis yang berlaku dan tidak cukup dengan hanya bergantung kepada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

“Jihad adalah untuk menentang kecurangan, menentang kemungkaran. Harga barang yang naik dan inflasi itu bukan kemungkaran. Kenapa perlu berjihad?

“Kami telah membacakan tuntutan kami dan banyak idea serta mekanisma diberikan oleh ramai pakar-pakar ekonomi dan wakil parti bagaimana untuk kerajaan tangani masalah ini.

“Tapi kerajaan masih mengambil sikap sambil lewa, buat relaks sahaja tentang masalah ini. Ini adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi tengah hari tadi.

Terdahulu, Annuar Musa mempelawa pihak mengetuai demo bantahan kenaikan harga barang agar bertemunya bagi mencari penyelesaian kepada krisis inflasi negara.

Annuar yang mengetuai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu menangani cabaran peningkatan kos sara hidup berkata, melalui pertemuan itu mereka boleh memberikan idea menarik untuk dipertimbangkan bagi menyelesaikan krisis yang berlaku.

“Saya nak tawarkan mereka yang ketua-ketua demo itu ada masa datanglah jumpa saya, saya nak dengar idea (mereka) saya pun bukanlah pandai nak buat sorang-sorang.

“…tapi yang pandai demo itu kalau mereka nak jumpa saya, nak bantu saya cari jalan, saya nak bekerja tapi saya bukan ‘Superman’, kalau ada orang yang ada idea bagus memang kita jemput,” katanya kepada pemberita semalam.

Hari ini, seramai sembilan pemimpin AMANAH selesai dirakam keterangan berhubung himpunan yang membantah kenaikan harga barang.

Antara yang dipanggil termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Adun Pandan Indah, Ir Izham Hashim; ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari; Ketua Wanita Muda AMANAH, Nurthaqaffah Nordin dan wakil Angkatan Wanita AMANAH, Anfal Saari.

Turut dilaporkan, tiga pemimpin parti politik yang sudah selesai dirakam keterangan sebelum ini adalah Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad; Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Hasbie Muda

Baca juga: 9 pemimpin politik sertai bantahan harga barang naik, selesai dirakam keterangan

Baca juga: “Jangan terkejut orang ini kaya sebab duit derma”, pemuda dedah sisi gelap NGO yang ditubuh untuk kaut duit