Malaysia Dateline

Ambil sampel air kumbahan, KKM laksana pemantauan rapi di pintu masuk antarabangsa

Pemantauan rapi di pintu masuk antarabangsa akan diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari China.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sampel air kumbahan dari negara berisiko tinggi akan diambil bertujuan untuk mengesan varian baru Covid-19.

Dengan itu, semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa akan melalui saringan gejala.

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan mula melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari luar negara terutama negara-negara berisiko tinggi sejak Jun 2022.

“Setakat ini kebanyakan ujian positif adalah dari varian omicron dan subtype BA5 dan BA2, buat masa ini tiada lagi varian baru Covid-19 dikesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Noor Hisham, sampel air kumbahan itu akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.

“Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula,” katanya lagi.

Bagi pengembara yang disyaki Covid-19, ujian akan segera dilaksana kepada individu tersebut.

Sementara itu, pengguna Facebook, Renuga Kuppusamy meluahkan kebimbangan jika pelancong tidak diasingkan dari awal, maka sukar untuk menghalang penularan.

“Jika mereka tidak diasingkan ketika masuk ke negara ini, pelancong pastinya akan mengunjungi tempat yang menjadi tumpuan ramai.

“Pada waktu itu, ia sudah terlambat untuk menghalang penularan penyakit ini,” katanya lagi.

Baca juga Kemasukan pengembara dari China: Malaysia digesa semak semula protokol Covid-19