Anak kembar seiras pemimpin AMANAH dapat 9A+ SPM

Oleh KIM SYAZIE

Anak kembar seiras kepada pemimpin AMANAH, Zholkarnain Abidin dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM Peringkat Negeri Perlis 2021 selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Pasangan kembar tersebut Anis Sofiah Zolkharnain dan adiknya, Anis Solehah Zolkharnain, 18, berjaya mendapat keputusan 9A+ sekaligus mengharumkan nama Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Syed Putra, Kangar.

Lapor Harian Metro, pasangan kembar berkenaan mengakui agak terkesan untuk belajar memandangkan situasi perlu menjalani pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR).

Bagaimanapun mereka tetap mengikuti sesi pembelajaran dan belajar bersungguh-sungguh.

“Kami jarang mengikuti tuisyen atau kelas tambahan, kami lebih senang mengikuti kelas yang dilaksanakan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC).

“Apa yang lebih penting adalah fokus dalam kelas selain melakukan latih tubi atau ulangkaji setiap mata pelajaran,” kata Anis Sofiah memetik Harian Metro.

Menurut Anis Solehah pula, dia dan kakaknya berada dalam aliran Sains Tulen dan setiap kali kelas PdPR, mereka akan sama-sama memastikan tidak ketinggalan untuk mengikuti kelas berkenaan.

“Walaupun ada kalanya kelas yang dijalankan itu berasingan, kami tidak ponteng. Sebenarnya tiada rahsia kejayaan kerana kami tidak belajar sehingga lewat malam, sebaliknya kami lebih fokus terhadap apa yang diajar oleh guru.

“Memang sudah menjadi tabiat kami untuk mentelaah pelajaran bersama-sama malah kami juga bercita-cita ingin menjadi doktor. Kami juga sudah mengisi borang untuk mengikuti pengajian dalam jurusan Sains Hayat di Universiti Malaya,” katanya.

Menurutnya, mereka belajar bersama-sama sejak di sekolah rendah malah turut belajar di kelas sama.

Katanya, mereka memperoleh 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A pada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Seramai 3,597 calon menduduki SPM 2021 di Perlis yang dilaksanakan dalam dua sesi iaitu sesi pertama pada 2 Mac hingga 29 Mac dan sesi kedua pada 11 April hingga 18 Mei lalu.

Baca juga: Kenyataan Setiausaha Pas Selangor tidak tepat dan tidak pernah berlaku, kata istana

Baca juga: Singapura larang kanak-kanak tonton ‘Lightyear’ Disney sebab adegan ciuman dua wanita