Anak muda disaran untuk mengurus kewangan mereka dengan cekap untuk mengelakkan kebankrapan selepas statistik mendedahkan 10,378 anak muda diisytihar bankrap bagi tahun 2018 hingga September tahun ini.
Bagi Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Aida Idris, beliau melihat ramai anak muda hari ini lebih mengejar gaya hidup mewah yang hakikatnya banyak memberi kerosakan di masa akan datang.
Menurutnya, gaya hidup mewah yang ditonjolkan sesetengah individu di media sosial sebenarnya tidak berkekalan lama.
Beliau menyarankan supaya pembaziran dan perbelanjaan yang tidak perlu dielakkan segera, lapor TheStar.
Menurut data dari laman sesawang Jabatan Insolvensi Malaysia, lebih 20 peratus daripada 47,929 orang yang diisytiharkan muflis dalam tempoh tersebut adalah di bawah umur 34 tahun.
10,138 berumur antara 25 dan 34; manakala mereka di bawah 25 tahun pula merekod sebanyak 240 kes muflis.
“Tidak kira sama ada anda mampu membelinya, menjalani gaya hidup hedonistik akan merosakkan,” tegasnya.
Mei tahun ini, media melaporkan kegagalan melunaskan hutang pinjaman yang tinggi akibat tidak mempunyai baki simpanan mencukupi mengakibatkan seramai 287,411 individu di negara ini diisytiharkan bankrap setakat bulan Mac tahun ini.
Akta Insolvensi 1967 telah dipinda pada 2020, untuk menaikkan ambang muflis daripada RM50,000 kepada RM100,000. Ini adalah kali kedua ambang kebankrapan dinaikkan dalam tempoh beberapa tahun, selepas ia dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000 pada 2017.
Menurut Jabatan Insolvensi, seseorang hanya boleh diisytiharkan muflis melalui perintah mahkamah. Pemiutang boleh memfailkan tindakan muflis terhadap penghutang jika hutang berjumlah RM100,000.
Baca juga: Tiba-tiba telur berlambak dekat pasar raya, netizen dakwa banyak telur dah lama?
Baca juga: Gara-gara dituduh merogol, lelaki ini kena ketuk ketampi sebagai hukuman