Anak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah hari ini ‘meletup’ jadi bualan warganet di Twitter ekoran pandangannya mengenai wanita tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin.
Dalam masa sama, pengucapan bahasa Inggeris wanita yang pernah beberapa kali mengundang kontroversi umum itu juga dikecam kerana dianggap ‘ke laut’.
Antaranya, dia juga terpalit dengan kes remaja Sindrom Down, Bella dan menepis dakwaan bahawa keluarganya melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Kali ini, Nurulhidayah menarik perhatian netizen sehingga namanya sohor kini di Twitter dengan lebih 4,000 ciapan setakat pukul 4 petang tadi.
Namanya disebut orang ramai ekoran komentar anak Presiden Umno itu dalam program ‘Politically Frank’ terbitan berbahasa Inggeris, Sinar Daily.
Susulan pendapatnya bahawa “women are not born to be leaders”, beberapa parti politik juga tampil memberi reaksi termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Menurut Pengerusi Biro Keluarga & Gen MUDA, Ainie Haziqah kenyataan Nurulhidayah itu merendahkan martabat wanita apa lagi datang daripada seorang wanita yang juga ibu dan mempunyai anak perempuan.
Ainie juga menyifatkan pendapat tidak bertanggungjawab dan dangkal itu seolah-olah memberi isyarat bahawa wanita masih tidak diiktiraf menjadi pemimpin di negara ini selepas sekian lama wanita di negara ini didiskriminasi daripada segi kesamarataan gaji, pendidikan, isu rumah tangga, kebebasan bersuara dalam politik dan banyak lagi.
Reaksi lebih tajam lagi tentunya daripada warga Twitter. Bagi @nursyahirahoo, dia mengakui terhibur bercampur tertekan menonton sedutan rakaman video berdurasi 24 saat yang menunjukkan Nurulhidayah sedang bertutur dalam bahasa Inggeris itu.
“Saya tengok video tu dua, tiga kali rasa stres tapi terhibur. Tak boleh brain level English dia tu. Sekolah rendah kids can do better, sorry not sorry,” katanya.
Sementara itu, @stargenx pula secara menyindir memberi ‘jawapan’ mengapa anak Zahid yang juga Pengarah Eksekutif Menara Rezeki Sdn. Bhd. itu tidak disukai semua orang.
“Kenapa semua orang benci pada Nurul Zahid? She is pure comedy. Saya tonton semula video itu 10 kali dan ia masih kelakar,” katanya.
Berikut lagi antara deretan kecaman dan sindiran terhadap anak Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu:
Baca juga Hakim tegur anak Zahid komen isu dana Yayasan Akalbudi
Baca juga Remaja pengsan di sekolah dedah kisah hitam dirogol bapa kandung