Malaysia Dateline

Ancaman bencana banjir Monsun Timur Laut: Ini senarai persiapan sekolah, bomba dan TNB wajib tahu

Kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) ketika hangatnya musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan ribuan sekolah dan fasiliti awam serta pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersiap siaga.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, persediaan kerajaan turut merangkumi kesiapsiagaan ketika serta pasca banjir.

Sementara itu, seramai 12,500 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibekukan cuti bagi menghadapi kemungkinan banjir bulan depan.

Arahan yang sudah dikeluarkan kepada pegawai dan anggota di semua 332 balai itu melibatkan pembekuan cuti bermula 7 November sehingga tamat musim MTL.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dilapor berkata sebanyak 1,900 aset marin, jentera dan kelengkapan menyelamat sudah bersiap siaga untuk menghadapi bah menjelang akhir tahun ini.

Pihak bomba juga mengenal pasti kawasan panas (hotspot) banjir baharu, yang dahulunya tidak terjejas dengan banjir.

Dalam masa sama, bomba turut melakukan pemantauan di kawasan cerun, lereng bukit, jeram dan kawasan rekreasi yang berisiko tinggi, bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh membahayakan nyawa orang ramai.

Pemantauan berterusan itu dilakukan sejak September hingga Mac tahun depan iaitu sebelum kejadian banjir, ketika kejadian dan selepas banjir berlaku.

Di pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula, lebih 2,500 kakitangan daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian disenaraikan untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Mereka terbabit akan bertugas 24 jam bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan meminimumkan kerosakan pepasangan elektrik demi keselamatan orang ramai.

Sebanyak 296 set janakuasa bergerak sudah disiapkan di negeri sering dilanda banjir selain bantuan logistik lain seperti 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW; 279 buah lori; 885 kenderaan pacuan empat roda; 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

TNB bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta akan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika banjir dinasihatkan agar segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut.

Baca juga Selepas 99 budak maut, ubat sirap perosak buah pinggang ini dilarang jual

Baca juga Tahniah Abang Viva dan isteri, netizen kata lepas ni bolehlah naik bot berdua