Malaysia Dateline

Anggota JPJ didakwa terima rasuah dari syarikat lori selama 3 tahun, disuap lebih RM27,000

Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600 sejak 2016 hingga 2019.

Tertuduh, Ahmad Jamil Md. Saru, 40, didakwa menerima sejumlah wang daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise, P. P. Vijayan supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Jamil telah menerima rasuah berjumlah RM27,600 menerusi empat transaksi berbeza di Bank CIMB Cawangan Muar antara 26 Januari 2016 hingga 24 Mac 2019.

Dia didakwa menerima suapan wang antara RM3,000 hingga RM11,000 secara pindahan dalam talian.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan seorang pembantu penguatkuasa JPJ di cawangan Muar, Johor itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana masih perlu menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah berusia 16 dan 10 tahun.

Mahkamah kemudian memutuskan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh yang telah berkhidmat selama 14 tahun dalam JPJ juga diarahkan untuk mematuhi syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Pada 5 Julai lalu, Ahmad Jamil didakwa terhadap 12 pertuduhan kerana menerima suapan bulanan sebanyak RM500 bagi melindungi syarikat sama, iaitu Sivan Sakthi Maju Enterprise sejak dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

Baca juga: Kerapu RM190 dua ekor, pelanggan tanya restoran di Port Dickson ni memang harga VVIP ke?

Baca juga: Najib terkejut, kecewa? Rakyat jelata pun kecewa juga

Baca juga: “Gitu je maruah negara kena pijak”, lihat bagaimana filem India pamer babak rasuah siap sebut nama Malaysia