Malaysia Dateline

Anwar arah misi mencari, namun tidak mengganggu kerja-kerja menyelamat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan misi mencari namun ia tidak menggangu kerja-kerja menyelamat yang dilakukan pihak berkuasa.

Anwar dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highland.

“Saya telah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Besar Selangor terkait misi mencari dan menyelamat.

“Saya telah mengarahkan agar misi mencari dan menyelamat dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan,” kata beliau.

Beliau juga telah dimaklumkan Menteri-Menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini.

Namun, beliau menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja- kerja mencari dan menyelamat.

Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini.

Pada jam 2.24 pagi tadi, Bomba Selangor telah menerima panggilan kecemasan berlaku kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali.

Pasukan Bomba daripada BBP Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang dan BBP Genting Highlands mula tiba di lokasi pada jam
3.04 pagi.

Dilaporkan, kejadian tersebut telah berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar 3 ekar.

Maklumat dikemaskini setakat jam 7.00 pagi tadi, sejumlah 79 orang mangsa yang berada di tapak perkhemahan tersebut terlibat dengan kejadian runtuhan yang berlaku.

23 orang dalam keadaan selamat, 2 orang meninggal dunia, 3 orang cedera dan 51 orang masih tidak ditemui.

Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh pihak Bomba serta dibantu bersama oleh agensi lain iaitu Persatuan Bomba Sukarela, Bomba Swasta, PDRM, APM, KKM dan Pasukan SMART.

Baca juge: Isu Melayu Islam terancam dimainkan pembangkang sudah tidak logik