Malaysia Dateline

Anwar Ibrahim : Pemimpin pemikiran Malaysia baharu

Ketika rencana ini ditulis, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) belum lagi mendapat sebarang watikah perlantikan sebagai Perdana Menteri. Dengan izin Allah S.W.T pastinya pemimpin teruji ini akan diangkat jua martabatnya.

Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dengan kebijaksanaan baginda telah memanggil satu mesyuarat khas Raja-Raja Melayu untuk mentaklimatkan mengenai situasi politik semasa pasca PRU-15 dan sudah pastinya mengenai penubuhan kerajaan.

Penulis yakin SPB YDA yang sangat berjiwa rakyat dan berjiwa musyawarah pastinya mahukan yang terbaik untuk rakyat; sebuah kerajaan yang berlanskapkan dengan tatakelola baik, telus, jujur, amanah, merentas kaum dan etnik, keharmonian beragama serta menghubung wilayah timor dan barat Malaysia.

DSAI adalah tokoh yang mendambakan pembentukan masyarakat madani. Beliau teruji dan diuji dengan pelbagai dugaan perjuangan. Perjuangannya terhadap masyarakat termiskin tiada siapa yang boleh menafikannya.

Sejak zaman mahasiswa lagi, jiwanya meronta melihat kedhaifan masyarakat di pinggiran bandar dan desa terpencil. Dengan harga getah yang sangat murah, penoreh kehidupannya melarat. Bukan lagi kais pagi makan pagi, malah tiada apa langsung yang boleh dikais dan boleh dimakan.

Beliau menggerakkan gerakan mahasiswa bagi mebuatkan kerajaan pada masa itu bangkit dari lena kekuasaan untuk merasai jerih-payah rakyat. Akibatnya bukan beliau mendapat sanjungan, malah beliau meringkok kerana itu dalam Tahanan ISA di Kamunting.

Tokoh ini sentiasa mahukan masyarakat Malaysia yang dibela, dimajukan masyarakat desa dan bandar, kekayaan diagihkan untuk semua, keharhornian beragama, semua bangsa adalah rakyat yang diiktiraf oleh perlembagaan dan masyarakat kasih-sayang. Itulah model yang dibina oleh Islam ketika penubuhan Madinah, dan inilah keyakinan DSAI.

DSAI ketika memangku jawatan Perdana Menteri telah mengambil daya usaha memperkenalkan akta/undang-undang anti rasuah yang ketat. Suatu yang amat digeruni kawan dan lawan. Jiwa beliau yang mahukan masyarakat yang bersih, bebas rasuah dan bebas penyalahgunaan kuasa dan dijadikan role model kepada dunia Islam dan antarabangsa.

Malaysia harus mengatasi Indonesia, Singapura dan Thailand dari segi kemajuan dan pembangunan. Malaysia baharu ini harus kembali menjadi harimau Asia dari segi ekonomi, kemajuan industri dan platform yang indah bagi kemasukan pelaburan antarabangsa. DSAI mempunyai rangkaian yang luas di timor dan barat; di dunia Islam dan dunia barat, rakan strategiknya sangat lebar. Dengan gandingan pasukan yang baik dari pelbagai parti yang rasional, Malaysia akan kembali gemilang.

DSAI adalah Bekas Menteri Kewangan terbaik Asia pada zamannya dan empat tokoh Menteri Kewangan dunia terbaik yang dinobat oleh Euromoney pada tahun 1993. Yusuf Ishak Institute, Singapura pernah pada tahun 2020 menerbitkan hasil penyelidikan : “The Making of Anwar Ibrahim’s “Humane Economy”. Ini merupakan pengiktirafan dan sanjungan yang sangat tinggi terhadap DSAI. Belum ada sesiapa di Malaysia termasuk Haji Hadi atau Mahiaddin mendapat sanjungan dalam pendekatan “Humane Economy” DSAI. Bahan ini menjadi rujukan timur, barat dan di Asia Tenggara terutamanya dalam menghadapi krisis kesihatan pasca COVID-19.

DSAI adalah ulat buku. Beliau amat rajin membaca, menelaah dan membuat analisis dalam perlbagai bidang. Ini termasuk bacaan dalam bidang agama, ekonomi, falsafah, teknologi dan dimaklumkan juga beliau membaca novel-novel berat Buya Hamka dan Shakespeare. Beliau juga membaca bacaan santai.

Beliau sentiasa menghubungi rakan-rakan strategiknya untuk mendalami ilmu dan pengetahuan baharu. Maka, spektrum pengetahuan dan kailmuannya sangat meluas, analisisnya mencakup dan merangkum. Tafsiran dan jangkaan nya terhadap ilmu ekonomi global dan pasaran kewangan serta pelaburan biasanya jarang tersasar.

Ini kerana DSAI bukan sahaja membaca secara akademik, namun beliau sentiasa berhadapan dengan tokoh kewangan dunia dalam dialog dan konferensi, dengan bahasa Inggeris yang sangat baik dan klasik. Berbanding dengan pimpinan yang kita ada, kesarjanan DSAI jauh berbanding dengan mereka dari pelbagai sudut dan pendekatan, teramasuk hujah ilmiah.

Oleh itu, wajarnyalah beliau diangkat sebagai YAB Perdana Menteri. Tokoh dan negarawan ulung yang boleh menyatukan antara kaum dan etnik di Malaysia. DSAI tokoh yang boleh merapatkan hubungan antara timor dan barat, berkemampuan menyantuni masyarakat pelbilang agama dan kepercayaan, namun beliau adalah Islamis yang teguh pegangannya.

Rangkaian strategik beliau juga melangkau ahli politik, ekonomi, sarjana falsafah, kewangan dan industri, melayakkan kedudukannya sebagai peneraju negara. Semuga Allah mengangkat darjat beliau sebagai Perdana Menteri.


Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Sciences, Jordan. Tulisan adalah merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian institut.

BACA JUGA Umno sebulat suara junjung Titah Agong sokong Kerajaan Perpaduan sudah tentu bukan PN