Malaysia Dateline

Umno sebulat suara junjung Titah Agong sokong Kerajaan Perpaduan sudah tentu bukan PN

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT semalam yang dipengerusikan oleh Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi.

MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan itu dicapai selepas memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid Hamidi untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden Umno Malaysia.

Kenyataan daripada Setiausaha Agung Datuk Sri Ahmad Maslan turut memaklumkan Perhimpunan Agung Umno untuk tahun 2022 ini ialah pada 21-24 Disember 2022.

Sudah tentu bukan PN

Sementara itu, MKT Umno Datuk Dr Puad Zarkashi menjelaskan Umno telah membuat keputusan demi negara dengan mengambil kira nasihat DYMM Yang Di-Pertuan Agong.

Katanya, BN akan menyertai Kerajaan Perpaduan atau apa apa bentuk yang lain.

Ketika ditanya wartawan sama ada PH atau PN, Puad memberitahu “jawapannya mudah. PN tolak Kerajaan Perpaduan. GPS akur titah YDP Agong”.

Bahkan jelasnya, penubuhan Kerajaan Perak dan Pahang adalah “clue” terbaik sudah tentu bukan PN.

“UMNO akan turun ke bawah untuk beri penjelasan. MCA dan MIC mesti terima kenyataan. Ayuh rakyat Malaysia. Moving forward dan buka buku baru,” katanya.

Puad juga menyifatkan dalam hal ini Umno amat serius dan demokratik yanga akhinya membuat keputusan secara konsensus.

Baca juga: Pemimpin Tunisia, Rashed ucap tahniah pada HARAPAN selepas muncul unggul pada PRU15

Baca juga: Kanak-kanak perempuan maut, dipercayai didera bapa tiri