Malaysia Dateline

Anwar luluskan segera RM100 juta buat Kelantan, Terengganu

Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera bantuan banjir berjumlah RM100 juta kepada negeri Kelantan dan Terengganu.

Memandangkan kedua-dua negeri terbabit telah terjejas teruk susulan banjir yang melanda sehingga mencecah hampir 37,000 orang di Terengganu manakala di Kelantan sudah mencecah lebih 28,000.

Anwar berkata negeri berkenaan masing-masing memperoleh RM50 juta susulan keadaan banjir yang serius untuk menjaga kebajikan rakyat.

Malah menurut Anwar kerajaan juga akan meneruskan bantuan banjir RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan, selain RM10,000 kepada setiap keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir.

Selain itu, Anwar memberi jaminan bahawa projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 dan 2 di Kelantan akan dipercepatkan tanpa kos berlebihan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu segera hantar laporan berhubung PLSB Sungai Golok kepada Kementerian Kewangan (MOF) sebelum tender dibuka,” katanya.

Anwar turut melawat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, di Pasir Mas.

Baca juga: Identiti Malaysia di tangan PM Anwar: Ini tiga perkara rakyat di Malaysia Timur dambakan