Anwar terima kunjungan hormat dari TPM Thailand hari ini

Oleh KIM SYAZIE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat dari Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan, di kediaman rasminya, di Seri Perdana, hari ini.

Sejurus tiba, Anwar dan Prawit mengadakan perbincangan selama hampir dua jam dan kemudiannya meraikan Prawit serta delegasinya dalam majlis makan tengah hari.

Dalam pertemuan itu, beliau turut mengambil kesempatan memperkenalkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Prawit.

*Menerima kunjungan hormat sahabat saya yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand, TYT Prawit Wongsuwan di Seri Perdana tengahari tadi.

“Malaysia dan Thailand punyai hubungan yang cukup baik sejak sekian lama dan saya menzahirkan harapan agar ia terus diperkasa melalui kerjasama dalam pelbagai lapangan,” katanya dalam kemas kini ringkas di Facebook hari ini.

Kunjungan itu antara lain bertujuan memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara, serta bertukar pandangan dan berkongsi maklumat bagi kebaikan serantau itu.

Ini adalah kunjungan kedua Prawit ke Malaysia sejak pintu sempadan negara dibuka semula pada April lalu akibat pandemik Covid-19.

Kali pertama Prawit ke negara ini pada Mei lalu bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Ke-55 antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur.

Malaysia dan Thailand sudah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Baca juga: Iktibar Anwar lawan Syed Mokhtar

Baca juga: Nafi kalau mati dikebumi sebagai lelaki, netizen doa Sajat diberi hidayah sebelum terlambat